Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pendirian Malaysia isu Palestin tak berubah meski Trump dipilih semula'

Sekiranya Presiden AS Donald Trump menang dan dipilih semula dalam pilihan raya presiden November ini, ia hanya akan menguatkan pendirian Malaysia untuk menentang pelan damai Israel-Palestin yang disokong AS namun tidak dipersetujui Palestin dan sekutunya.

Bercakap kepada wartawan, ketua jawatankuasa yang menganjurkan Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds, Syed Ibrahim Syed Noh berkata sokongan berterusan Malaysia terhadap keperitan rakyat Palestin berdasarkan nilai universal yang harus dikongsi oleh semua ahli parlimen.

"Saya fikir tidak ada perbezaan sama ada Trump atau orang lain (presiden AS).

"Kami berpegang pada prinsip bahawa tidak ada sesiapa yang harus ditindas, tiada siapa yang seharusnya diserang ... mereka harus mempunyai kebebasan untuk hidup di negara mereka sendiri," kata Syed Ibrahim, yang juga ahli parlimen Ledang.

"Mereka (penduduk Palestin) dikuasai, ditawan, tanah mereka dirampas ... jadi bagi saya tentangan kita (terhadap tindakan) tidak terhad kepada Trump atau mana-mana individu lain," katanya.

Cadangan perdamaian yang diumumkan oleh Trump pada 28 Jan akan memberi Israel sebahagian besar daripada tuntutan mereka dalam konfilk tujuh dekad sejak tahun 1948, termasuk kota Jerusalem dan hampir semua tanah yang dikuasai Israel.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengkritik perjanjian damai itu sebagai berat sebelah yang dilakukan oleh AS dan Israel tanpa sebarang rundingan dengan rakyat Palestin.

Syed Ibrahim sebelum ini membaca sembilan resolusi yang diluluskan oleh perwakilan yang menghadiri persidangan selama dua hari di Kuala Lumpur itu, yang mempamerkan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin dan mengutuk tindakan rejim Zionis.

Pada masa ini, beliau berkata Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds telah mendapat sokongan daripada 700 anggota parlimen dari 70 negara di seluruh dunia.

Kini pada tahun ketiganya, beliau berkata peranan Malaysia sebagai tuan rumah juga merupakan pertemuan pertama persidangan itu di luar Timur Tengah.

Ia dengan harapan dapat menjangkau lebih banyak ahli parlimen di rantau Asia.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyampaikan ucapan penutupnya hari ini sementara suaminya, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dijadualkan menyampaikan ucapannya kepada perwakilan pada jamuan perpisahan malam ini.

Lihat Komen
ADS