Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan: Umno sokong usul percaya PM jika beri manfaat
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 9:45 AM
Dikemaskini: 8:59 AM

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjelaskan partinya tidak akan teragak-agak menyokong usul undi percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir Mohamad yang akan dibawakan PAS ke Dewan Rakyat bulan depan.

Jelasnya, ini kerana PAS merupakan gabungan dari Muafakat Nasional dan Umno akan menyokong sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Usul ini datang daripada PAS dan sebagai rakan dalam Muafakat Nasional, kita mesti lakukan secara bersama-sama.

“Jika ia merupakan sesuatu langkah yang baik, maka Umno tidak akan teragak-agak untuk bersama,” katanya seperti dipetik oleh portal Free Malaysia Today.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno akan mendapatkan penjelasan PAS terlebih dahulu dalam mesyuarat Muafakat Nasional, sebelum membuat keputusan itu secara bersama.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim dan Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan mengumumkan 18 anggota parlimen PAS akan membawa usul berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac depan.

Ia memandangkan pihak yang sebelum ini “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri tidak membawa usul undi tidak percaya di parlimen.

Semalam, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa cadangan usul tersebut akan dibincangkan bersama parti sekutunya Umno pada mesyuarat malam ini.

Namun, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula berpendapat PAS mempunyai hak membawa usul berkenaan, tetapi berpendirian bahawa Umno tidak perlu “busybody” (menyibuk) dengan masalah yang dihadapi PH.

'Orang belum lamar, kita sudah bising'

Sementara itu, Mohamad turut menasihati pemimpin dan ahli Umno supaya tidak menghiraukan khabar angin susulan pembentukan kerajaan 'pintu belakang'.

Katanya, fokus kini Umo adalah untuk berusaha bagi merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

“Dua, tiga hari ini ada bising-bising, apa yang hendak dibisingkan? Orang belum melamar kita lagi, kita sudah bising. Itu sebabnya orang kata strategi kena betul, ini langkah tidak betul, maka mudah dibaca orang.

“Jangan pening-pening kepala hendak masuk pintu belakang atau pintu tepi. Kita ingat pilihan raya sajalah. Kalau ada rezeki, ada. Jangan menikam dari belakang.

“Kebanyakan empayar seperti Andalusia, Uthmaniyah kalah bukan disebabkan orang luar, tetapi orang dalam. Jadi, janganlah kita menjadi penderhaka kepada perjuangan,” katanya.

Untuk rekod, isu pembentukan 'kerajaan pintu belakang' dengan PAS mula timbul apabila sekeping gambar memaparkan pertemuan antara Mahathir dengan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bulan lalu.

Pertemuan itu turut disertai isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta individu yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Ia meledak apabila 3 Februari lalu, bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman audio dan mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mahu mengikut PAS menubuhkan pakatan kerajaan, bagi mengetepikan DAP.

Spekulasi itu dinafikan oleh Ahmad Zahid yang menyifatkan kerjasama Umno dengan Mahathir sebagai khabar angin, sementara Lokman pula dipecat daripada menjadi ahli Umno ekoran pendedahan rakaman audio berkenaan.

Lihat Komen
ADS