Paling Popular
Terkini

Nota editor: Artikel ini dipinda selepas penjelasan rasmi daripada pihak kerajaan.


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2020.

Angka itu sama seperti unjuran  awal iaitu, walaupun dalam masa yang mencabar.

"Dengan disiplin fiskal yang baik, defisit belanjawan kita akan berkurangan kepada 3.2 peratus tahun ini," kata Dr Mahathir, sambil menambah bahawa kerajaan komited untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil untuk pelabur.

"Malah kami akan perbaiki dasar persyarikatan Malaysia, yang bermaksud kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta," katanya dalam satu majlis dialog di Cyberjaya, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika berucap dalam program dialog bersama ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM).

Awal Januari lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bahawa kerajaan yakin pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun ini, sekali gus membolehkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2019.

Lim berkata kerajaan kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia bertindak menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus.

Naik tiga anak tangga

Mengulas lanjut, Mahathir turut berkata Malaysia kini berada pada kedudukan ke-12 dalam laporan kemudahan menjalankan perniagaan 2020 oleh Bank Dunia.

Kedudukan itu, katanya, menunjukkan peningkatan tiga anak tangga berbanding tahun lepas.

“Kami akan terus menggalakkan 5C – clarity (kejelasan), consistency (ketekalan), certainty (kepastian), confidence (keyakinan) dan continuity (kesinambungan),” katanya.

Menurut Mahathir, kerajaan juga komited membangunkan bakat-bakat yang perlu untuk kurun ke-21 dan masih “bermurah hati” dalam hal pas pekerjaan serta kemudahan bermastautin untuk bakat berkemahiran tinggi dan khusus.

“Kami menerima bilangan pelajar asing yang besar setiap tahun. Kami akan dengar pandangan anda mengenai jenis pekerja yang anda mahu kami hasilkan,” tambahnya.

Sementara itu dalam sesi soal jawab bersama syarikat multinasional Perancis pula, Mahathir turut disoal berhubung pengambilalihan Malaysia Airlines (MAS).

Menurut Mahathir kerajaan masih belum memutuskan siapa yang akan mengambil alih syarikat penerbangan nasional tersebut meskipun terdapat beberapa syarikat penerbangan menunjukkan minat.

Diminta mengulas pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat daripada penularan pantas novel koronavirus 2019, Mahathir berkata kerajaan merangka rancangan untuk mengurangkan kesan wabak terbabit ke atas ekonomi.

"Kementerian Kewangan sedang meneliti pakej rangsangan tersebut,” katanya.

Setakat hari ini lebih 900 orang mati akibat coronavirus direkodkan dengan lebih 40,000 kes disahkan di seluruh dunia.

Lihat Komen
ADS