Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya berbeza pendapat dengan kerajaan Malaysia sekarang dalam isu pembatalan pembinaan 'Jambatan Indah' sahaja.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan Malaysia berhak membatalkan pembinaan jambatan lurus bagi menggantikan Tambak Johor.

Tetapi, beliau berkata, sewajarnya pembinaan asal jambatan indah diteruskan kerana ia tidak membabitkan Singapura.

"Kalau kita tak sentuh Singapura, kita boleh buat jambatan tetapi malangnya jambatan itu juga dibatalkan...itu sahaja yang saya tidak setuju dengan kerajaan sekarang ni," katanya kepada lebih 700 peserta Kolokium Mengantarabangsakan Rumpun Melayu di Kota Kinabalu malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata demikian selepas diminta penjelasan pendapat beliau mengapa projek jambatan indah patut diteruskan, dalam sesi dialog dengan peserta kolokium itu.

Kolokium selama dua hari bermula semalam dianjurkan Biro Perhubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda Umno. Biro tersebut.dipengerusikan oleh Datuk Mukhriz Dr Mahathir.

Perkara kontroversi

Singapura sebelum ini dilaporkan meminta Malaysia menjual dua bilion meter padu pasir kepadanya dalam tempoh 20 tahun dan membenarkan penggunaan ruang udara Malaysia sebagai syarat persetujuan untuk sama-sama membina jambatan lurus bagi menggantikan tambak Johor.

"Jadi itulah masalah perbezaan pendapat saya dengan kerajaan sekarang ni... sebab itu saya keluarkan pendapat saya walaupun saya telah berjanji tidak akan campurtangan (selepas bersara)," katanya.

"Walaupun saya janji saya tak akan sentuh tapi kalau buat macam itu saya sentuh juga, kaedahnya sama kalau kita janji kita tak akan buat apa-apa tetapi terlihat di depan kita seorang sedang dipukul takkanlah kita nak duduk tengok saja. Saya tak janji setakat itu.

"Saya mula-mula ingat kalau boleh nak elak daripada bercakap benda-benda yang kontroversi. Saya minta maaf jika saya buat penjelasan sedikit mengenai perkara ini. Mereka nampak tak faham apa yang menjadi kontroversi itu," katanya.