Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Shafie Bakri membantah sepenuhnya penerbitan filem Lelaki Komunis Terakhir yang disifatkan sebagai menyentuh sensitiviti masyarakat, terutamanya bekas polis.

Beliau berkata kandungan filem semi-musikal 90 minit itu seolah-olah mengagungkan perjuangan komunis tanpa memberi fokus terhadap perjuangan polis yang berjuang untuk negara.

"Kami berkecil hati dan tajuk dokumentari tersebut menyentuh perasaan sebagai pejuang negara, dan persoalannya kenapa mesti penerbit itu seolah-olah mengagungkan kredibiliti perjuangan komunis?.

"Kenapa tidak menceritakan pahit getir kami ketika zaman darurat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, filem berharga RM80,000 itu juga dilihat tidak memberi sebarang faedah kepada pembangunan mentaliti masyarakat terutamanya remaja.

Beliau juga mendakwa tidak pernah dijemput untuk menonton filem yang akan ditayangkan kepada media dan ahli Parlimen tidak lama lagi.