Calon bebas yang menang dalam pilihanraya negeri Sarawak Sabtu ini, tidak akan diterima masuk dalam Barisan Nasional (BN) kerana ia boleh menggugat keharmonian parti komponen BN, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Ini (pilihanraya) bukan fishmarket (pasar ikan)," katanya kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Nanga Medamit, 50km dari sini.

Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beberapa calon bebas dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini, secara terbuka menyatakan kesediaan mereka untuk memohon menyertai BN jika menang, antaranya ialah Ali Abdullah yang bertanding di Bukit Kota dan penyandang kerusi Belaga, Stanley Ajang Batok yang masih menyifatkan dirinya 'orang BN'.

Menurut laporan Bernama, 20 calon bebas akan bertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini di kawasan yang majoriti pengundinya kaum Iban dan Melayu/Melanau.

'Kita tidak terima'

Ketika diminta mengulas mengenainya, Taib berkata: "BN Sarawak tiada halangan jika ada permohonan."

"Mohon boleh, apa salahnya tetapi kalau dia (calon bebas) menang, kita tidak terima," tambahnya.

Menurutnya, agak sukar bagi BN untuk menerima dan mempercayai kredibiliti calon-calon bebas yang pada awalnya menentang BN tetapi setelah menang mahu menyertai BN pula.

Sebaliknya, tegas Taib, BN Sarawak bersedia bertanding sekali lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang BN tewas kepada calon bebas, daripada menerima mereka yang menentang BN.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan lebih 1,000 penyokong BN, Taib sekali lagi menafikan kerajaan negeri berniat merampas tanah hak adat bumiputera daripada pemiliknya.

"Cuba lihat betul-betul dalam surat hak milik tanah. Berapa keluasan dan nama yang ada dalam surat tersebut. Kalau kerajaan negeri hendak rampas, kita tidak akan keluarkan surat hak milik tersebut," tegas beliau.