Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Grab cabar cadangan denda RM86.7 juta oleh MyCC di mahkamah

Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Inc (Grab) memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendenda pihaknya sebanyak RM86.7 juta kerana melanggar undang-undang persaingan.

Grab Inc bersama-sama Grabcar Sdn Bhd and Myteksi Sdn Bhd memfailkan permohonan itu menerusi Messrs Shanthi Kandiah Chambers di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Disember tahun lalu.

Pada 3 Oktober lalu, MyCC mencadangkan denda dengan jumlah itu terhadap Grab atas dasar syarikat itu melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 kerana didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya.

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman yang dilihat Malaysiakini, Grab antara lain memohon untuk perintah certiorari (writ atau perintah di mana mahkamah lebih tinggi menyemak kes yang dibicara di mahkamah lebih rendah) membatalkan cadangan MyCC bertarikh 23 September 2019.

Syarikat itu memohon pengisytiharan bahawa responden (MyCC) tiada kuasa untuk mengumumkan atau memaklumkan cadangan keputusan melalui penerbitan kenyataan media bertajuk “MyCC proposes to fine Grab RM86 million for abusive practices” di laman webnya serta ketika sidang media pada 3 Oktober 2019.

Grab juga memohon pengisytiharan bahawa ketua pegawai eksekutif responden telah bertindak ultra vires (melampaui atau di luar kuasa) berkaitan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 apabila memberikan wawancara yang membawa kepada penerbitan artikel bertajuk “Grab has till Dec 31 to submit written representations to MyCC” dalam akhbat The Edge untuk minggu 18 November hingga 24 November 2019.

Syarikat itu mendakwa sepanjang siasatan MyCC yang bermula pada 3 Disember 2018, suruhanjaya itu tidak menetapkan asas untuk keyakinannya berkenaan bagaimana Grabcar dan Myteksi, secara bersama dikenali sebagai Grab Malaysia, telah melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010.

Seksyen 10(1) akta tersebut menyatakan "satu perusahaan dilarang untuk terlibat, sama ada secara sendirian atau kolektif, dalam apa-apa perlakuan yang berupa suatu

penyalahgunaan kedudukan dominan dalam mana-mana pasaran bagi barangan atau perkhidmatan."

Lihat Komen
ADS