Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bimbang wabak Covid-19, perarakan cingge JB dibuat berskala kecil
Diterbitkan:  Feb 12, 2020 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Perarakan cingge yang dijadual diadakan di Johor Bahru pada Jumaat ini akan dijalankan pada skala kecil.

Keputusan itu diambil di sebalik nasihat kerajaan negeri agar ia dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran ancaman wabak Covid-19.

Bercakap kepada media hari ini, Presiden Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong, berkata pihaknya menghormati pandangan kerajaan negeri dan akan mematuhinya sebaik mungkin.

"Bagaimanapun, perarakan dewa-dewa ini adalah tradisi kita, jadi untuk tahun ini, kita akan melakukannya sebaik mungkin (dengan mematuhi nasihat pihak berkuasa).

"Kami telah berunding dengan kerajaan negeri, maka lima dewa akan diarak di atas lori, sementara hal-hal lain seperti tarian naga dan singa, perarakan kereta berhias, semuanya dibatalkan.

"Saya minta maaf. Semua orang bekerja keras untuk menjayakan perarakan ini," katanya.

Menurut laporan Bernama, tahun lalu kira-kira 300,000 telah menghadiri perarakan itu.

Sementara itu dalam satu kenyataan hari ini, kerajaan Johor menggesa pihak penganjur membatalkan perarakan cingge ekoran kebimbangan merebaknya penyakit Covid-19.

Sediakan senarai nama, alamat

"Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan Jabatan Kesihatan Johor, selain ketidakupayaan untuk membuat saringan kesihatan kepada semua pengunjung pada skala besar.

"Pihak keselamatan dan penganjur juga tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar kehadiran pengunjung yang dijangka akan menyertai perarakan itu.

"Kerajaan negeri berpendapat keputusan ini dibuat sebagai antara langkah pencegahan berikutan dikhuatiri berlaku penularan wabak dalam skala besar sekiranya perarakan diteruskan," kata kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar tersebut.

Bagaimanapun, katanya, upacara keagamaan pada 13 dan 15 Feb 2020 masih boleh diteruskan.

"Tetapi penganjur perlu menyediakan senarai nama beserta alamat lengkap setiap peserta untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Johor sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Pejabat Menteri Besar Johor juga menasihatkan mana-mana pihak atau individu yang tidak terlibat secara langsung dalam upacara cingge berkenaan agar tidak menghadiri upacara tersebut demi keselamatan kesihatan masing-masing.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS