Terjemahan Apakah wujud dua senarai nama pengundi bagi pilihanraya negeri Sarawak?

Inilah pertanyaan Pengerusi Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel), Abdul Malek Husin (foto) kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Sebabnya: Senarai nama pengundi yang digunakan pada hari penamaan calon (9 Mei) dinyatakan secara rasmi telah sahkan pada 7 Mac dan diwartakan pada 8 Mac 2006.

Tetapi pada 13 Mei, Setiausaha SPR dan Ketua Pendaftar Kamaruzaman Mohd Noor, mengumumkan bahawa senarai pengundi yang akan digunakan untuk pilihanraya negeri Sarawak disahkan pada 16 Mac dan dikemaskinikan sehingga 24 Mac, dengan mengandungi 892,537 pengundi 877,810 pengundi biasa dan 14,727 pengundi pos.

"SPR mesti menjelaskan mengapa timbul percanggahan tersebut. Tanpa penjelasan yang jelas, ia akan memberi gambaran terdapat dua senarai nama pengundi," kata Abdul Malek.

Menurutnya, senarai nama pemilih yang digunakan untuk pengundian mestilah sama dengan senarai pengundi yang digunakan pada hari penamaan calon.

Bagaimanapun, tambahnya: "Ini bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku, kerana ia pernah berlaku dalam pilihanraya umum 2004 yang mengakibatkan timbulnya kekeliruan di kalangan pengundi mengenai tempat pengundian mereka."

Pindaan peraturan

Abdul Malek juga menyentuh tentang peraturan pilihanraya yang telah dipinda, terutama mengenai Peraturan 11(5) Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, sepertimana yang diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada 10 Mei lalu, yang akan digunapakai dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini.

Malangnya, kata Abdul Malek, pengerusi SPR (foto) itu tidak menyebut secara khususnya, isi kandungan sebenar pindaan tersebut.

Pengerusi Mafrel itu menyifatkan pindaan seumpama itu sebagai "samar, terlalu umum dan tidak jelas".

Tanpa menyatakan dengan jelas isi kandungan pindaan tersebut, tegasnya, ia akan terdedah kepada penyelewengan dan implikasi negatif.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPR untuk menyatakan secara khusus apa yang dimaksudkannya bagi mengelak sebarang kekaburan.

Jika tidak, tegasnya, ia akan memberi gambaran bahawa tujuan sebenar di sebalik pindaan tersebut ialah untuk memberi lebih kuasa kepada SPR.

Sementara itu, Mafrel mengalu-alukan langkah SPR untuk tidak lagi menulis nombor siri pengundi di pangkal senarai nama pemilih kerana ia menimbulkan keraguan sama undi mereka benar-benar sulit.

Bagaimanapun, Abdul Malek berkata, SPR belum lagi menangani beberapa isu pokok.

Katanya, SPR mesti menangani lima lagi isu utama sebelum hari pembuangan undi kecacatan senarai nama pengundi, kejadian amalan rasuah, perbelanjaan pilihanraya yang besar, liputan media yang berat sebelah dan kecacatan dalam pengundian secara pos.

Beliau berkata, jika isu-isu tersebut gagal ditangani, ia akan menjejaskan kredibiliti pilihanraya Sawrak kali ini.

Mafrel juga menggesda Parlimen supaya menyemak semula undang-undang mengenai pendaftaran pemilih dan senarai nama pengundi.

Badan itu juga menggesa supaya diadakan semula proses pendaftaran pengudni bagi menangani apa yang didakwannya "pencemaran dan ketidak tepatan" dalam senarai nama pengundi.

Mafrel juga mencadangkan penggunaan dakwat pada jari pengundi bagi mengelak berlakunya penyamaran pengundi atau mengundi lebih daripada sekali.

Ia juga berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) patut memantau secara dekat amalan-amalan rasuah dan bertindak segera tanpa rasa takut terhadap mereka yang terbabit.

Mafrel juga mahu Parlimen menyemak semula undang-undang penyiaran sekarang bagi memastikan pengundi mendapat maklumat yang mencukupi dan seimbang mengenai calon dan isu-isu yang dibangkitkan. Berita asal