Salahuddin: Beri kebebasan pada ahli Parlimen BN
Lebih banyak usul mengenai kemanusiaan, keselamatan negara dan kesihatan boleh dibahaskan di Dewan Rakyat sekiranya ahli Parimen Barisan Nasional (BN) tidak terikat dengan larangan supaya jangan menyokong usul yang dibawa oleh pembangkang, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Lebih banyak usul mengenai kemanusiaan, keselamatan negara dan kesihatan boleh dibahaskan di Dewan Rakyat sekiranya ahli Parimen Barisan Nasional (BN) tidak terikat dengan larangan supaya jangan menyokong usul yang dibawa oleh pembangkang, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Katanya, pada ini, ahli Parlimen BN tidak boleh menyokong usul pembangkang kerana terpaksa mematuhi arahan Ketua Whip BN, yang disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk tidak berbuat demikian.
Sepatunya, kata beliau lagi, ahli Parlimen dari BN, diberi kebebasan untuk menyokong dan membahaskan sebarang usul yang memberi faedah kepada rakyat dan negara.
Baru-baru ini, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad meletakkan jawatan selepas ahli Parlimen BN tidak bersamanya menyokong usul pembangkang untuk merujuk ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana campurtangan dalam urusan Kastam dan Eksesais Diraja Malaysia (KDRM).
Salahuddin berkata, daripada maklumat yang diterima, ramai ahli Parlimen BN yang mahu menyokong usul pembangkang tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana terikat dengan arahan Whip.
"Saya telah membawa 22 usul dan kebanyakannya adalah mengenai kemanusiaan, keselamatan dan kesihatan, tetapi malangnya hanya tujuh usul yang dibahaskan," katanya.
Tidak sokong usul
Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Parlimen Malaysia mengamalkan sistem seperti House of Common di Britain, di mana usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tony Blair pun, pernah dibahas dan ditolak.
Katanya, ini bermakna ahli Parlimen Parti Buruh pimpinan Blair sendiri tidak menyokong usul yang dibawa oleh ketua mereka.
"Malangnya ia tidak berlaku di negara kita walaupun kita mengamalkan sistem yang sama seperti di Britain," katanya lagi.
Salahuddin berkata, bekas Speaker Dewan Rakyat Tun Zahir Ismail pernah bersetuju kes tertentu dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen untuk membolehkannya memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pegawai kerajaan untuk membantu siasatan.
Dari segi moral, katanya, Mohd Said perlu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen dan BPR pula perlu menjalankan siasatan terhadapnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Idris Ahmad yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) akan gagal jika wujud perbalahan antara ahli Parlimen dengan pegawai kerajaan.
Selain itu, katanya, Institut Intergiti yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menangani isu rasuah juga belum menampakkan perlaksanaannya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.