Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen dalam pilihanraya negeri Sarawak tidak memberi sebarang kesan kepada Barisan Nasional (BN) kerana beliau hanya bergerak di pinggiran dan bukannya di arus perdana politik negeri itu, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Di samping itu, kata Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak, pengikut Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga bukanlah masyarakat dalam arus perdana.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Anwar berkempen di Kuching malam tadi.

Sebelum itu, beliau yang Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), merasmikan Ladang Kelapa Sawit Harn Len Pelita Begunan Plantation Sdn Bhd di Lachau, dekat Sri Aman.

Menurut laporan Bernama, Taib berkata, PKR pula bukanlah bergerak dalam politik yang betul.

"Malah, calon-calonnya pun saya nampak... you tahulah," kata Taib yang jelas mempersoalkan kewibawaan calon-calon PKR.

Mengenai kritikan Anwar terhadap kerajaan negeri, Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata: "Tanya diri dia sendiri dulu sebelum mengkritik saya. Hidup saya dengan dia... tanya siapa yang lebih baik."

Semasa berucap di majlis itu, Taib mengulangi penjelasannya mengenai isu kerajaan membangunkan tanah adat Bumiputera di negeri ini.