Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS 'dibutakan' cinta pada Umno, kata Pemuda Amanah

PAS dilihat istiqamah mengkritik PH berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) kesan daripada 'hubungan cinta' parti itu dengan Umno sekarang, kata Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan.

Katanya TH dibelenggu dengan pelbagai masalah sejak lama dulu, iaitu sejak BN - dengan Umno sebagai parti utama - menjadi kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Hazmi, hubungan intim dijalin ketika ini membuat PAS "buta" kepada kemelut yang membelenggu TH sebelum PH menjadi kerajaan dan pada masa sama menyucikan Umno.

Isu TH telah lama diperkatakan, namun ketika itu dek kerana hubungan sulit dan intim PAS - Umno, ia telah membutakan mereka.

"Ketika ini apa sahaja penyelewengan yang pernah dilakukan kerajaan Umno dan BN, ia akan disucikan PAS. Apa saja keburukan yang Umno lakukan, ia akan segera dijilat PAS untuk membolehkan Umno serta dilihat suci," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu hari ini.

PAS menjadikan TH sebagai salah satu isu utama mereka selaku pembangkang untuk mengecam kerajaan. Untuk rekod, TH berada di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

Semua kakitangan kekal

Mujahid ialah antara tokoh yang pernah dipilih menduduki jawatan kanan dalam PAS sebelum beliau serta beberapa yang lain disingkirkan parti itu dalam pemilihan pada 2015.

Mereka kemudian menubuhkan Amanah.

Pagi tadi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menuntut TH dan Mujahid membuat penjelasan mengenai "penamatan operasi" empat hotel milik agensi berkenaan yang disifatkannya sebagai mengejutkan banyak pihak.

"Setelah pihak kerajaan gagal mengemukakan jawapan konkrit berhubung transaksi penjualan meragukan dua syarikat subsidiari dan aset ladang kelapa sawit milik TH Plantations Bhd bulan lalu, kini TH akan menamatkan pula operasi empat aset komersial milik TH Hotel & Residence kerana bangunan hotel tersebut didakwa telah diambil alih oleh SPV milik Kementerian Kewangan iaitu Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

"Tindakan ini menunjukan semua aset di bawah pemilikan LTH yang diserahkan kepada UJSB akan terbuka untuk dipindah milik kepada pihak lain," katanya.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disanggah TH dan menjelaskan hotel tersebut akan terus beroperasi di bawah pengurusan baru, serta melalui proses penjenamaan semula serta kekal dengan statusnya sebagai patuh syariah.

Hampir semua kakitangan hotel itu juga akan dikekalkan dan selebihnya - atau kira-kira 10 peratus - akan diserap ke hotel TG di Kelana Jaya.

Hazmi berkata hari ini PAS menuduh PH tidak pandai mentadbir negara dan menyebarkan dakyah kononnya empat hotel TH itu akan tutup.

"Sedangkan sebenarnya hotel itu melalui proses penjenamaan semula," katanya.


Baca Meski mabuk bercinta, berlaku adillah wahai PAS


Pada masa sama Hazmi berkata, penyokong pembangkang perlu sedar apa yang sedang dilakukan parti mereka dan segera memahami fakta yang ada.

Bagaimanapun, katanya, ia mungkin sukar dilakukan oleh penyokong pembangkang.

"Fakta-fakta itu akan sukar difahami kerana mereka memang tidak akan mahu menggunakan akal.

"Mereka itu juga boleh dianggap rakyat Malaysia yang tidak patriotik kerana sentiasa memburuk-burukkan kerajaan dan pada masa sama gigih menjaga kepentingan Umno," katanya.

Lihat Komen
ADS