Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kereta rasmi di Kelantan mahal berbanding negeri lain - Nik Nazmi
Diterbitkan:  Feb 18, 2020 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengulas mengapa pembelian 14 kereta mewah Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi pimpinan di Kelantan termasuk menteri besar (MB) dan exco negeri itu menjadi isu panas.

Dalam ulasannya itu, beliau membuat perbandingan antara kereta rasmi Kelantan dengan kereta rasmi yang digunakan di beberapa negeri lain.

“Dalam isu pembelian 14 kereta Mercedes termasuk kereta MB Kelantan bernilai RM600,000 tiada siapa kata MB dan exco perlu guna Perodua Viva seperti diulas Timbalan MB Nik Amar (Mohd Amar Abdullah).

“Namun kita perlu bandingkan dengan kerajaan-kerajaan negeri PH, BN dan PAS yang lain,” katanya di Twitter.

Antara yang dibandingkan, ialah kereta Mercedes E300 (2018) yang digunakan oleh MB Terengganu, juga dari PAS, yang bernilai RM350,000 mengikut harga pasaran. Jumlah itu jauh lebih murah berbanding S 450 L AMG Line yang digunakan oleh MB Kelantan.

Sedangkan kata Nik Nazmi, Terengganu mempunyai lebih banyak sumber pendapatan negeri, khususnya sumber minyak dan gas yang besar.

Beliau kemudiannya menyenaraikan kenderaan rasmi di negeri lain seperti Honda Accord 2.4 (2013) yang digunakan oleh Negeri Sembilan (kerajaan negeri diterajui PH) dan Perlis (BN) bernilai RM170,000 sewaktu pembelian.

Turut disenaraikan Toyota Camry 2.5 (2018) yang digunakan di Perak (PH) dan Selangor (PH) bernilai RM190,000.

Katanya juga, sekalipun didakwa dibeli dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran, ia masih perbelanjaan yang lebih tinggi kerana negeri lain juga menikmati pengecualian cukai duit dan eksais seperti yang dinikmati di Kelantan.

Pendapat itu dikeutarakan dalam dua siri bebenang di Twitternya.

Bulan lalu, tidak lama selepas tular tentang pembelian kereta Mercedes jenis S 450 L AMG Line berwarna hitam pada harga lebih RM600,000 untuk MB Kelantan, Mohd Amar tampil mengakui pembelian berkenaan.

Malah, katanya, bukan hanya MB Kelantan mendapat kereta mewah baru, tetapi juga menikmati kemudahan tersebut adalah barisan exco dan setiausaha kerajaan negeri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kereta Mercedes yang dibeli adalah sebanyak 14 buah tetapi dengan kapasiti enjin yang berbeza-beza.

Kata Mohd Amar, soal harga bukanlah menjadi isu memandangkan mereka memperolehi diskaun hampir 50 peratus kerana tidak dikenakan cukai.

Dalam bebenang lebih awal, Nik Nazmi turut menbangkitkan keadaan ekonomi negeri Kelantan dan membandingkannya dengan perangkaan ekonomi negara.

Katanya, purata keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Kelantan ialah 2.6 peratus berbanding kadar kebangsaan pada 4.7 peratus.

Kadar kemiskinan di Kelantan adalah pada 11.6 peratus berbanding 3 peratus kadar kebangsaan yang menjadikan negeri yang diterajui PAS itu sebagai termiskin di Semenanjung Malaysia.

Kadar pengangguran di Kelantan ialah sebanyak 4 peratus berbanding 3.3 peratus kadar kebangsaan. Ini merangkumi kadar 9.7 peratus kadar pengangguran orang muda berbanding 7.3 peratus kadar kebangsaan.

Bagi pendapatan median pula, kata Nik Nazmi, kadarnya ialah pada RM3,079 berbanding RM6,958 kadar kebangsaan - terendah di Malaysia, malah lebih rendah berbanding di Sabah dan Sarawak.

Katanya juga, jika sebelum ini PAS sering menyalahkan Umno dan BN kerana menganaktirikan Kelantan sejak 1990, kesengsaraan rakyat Kelantan juga turut berpunca daripada tindakan dan kegagalan dasar PAS sendiri.

Beliau membangkitkan bagaimana Kelantan menerima RM15.7 pada tahun lalu (berhubung royalti), RM100 juta pinjaman untuk kos operasi dan gaji, RM400 juta pembayaran “one-off” serta peruntukan RM1.5 bilion untuk pembangunan dalam Belanjawan 2020 oleh kerajaan pusat.

“PAS tidak boleh salahkan halangan politik lagi.

“Ke manakah jumlah wang yang besar yang diberikan oleh kerajaan persekutuan itu digunakan?

“Pembelian kereta rasmi mewah dan pemberian bonus exco bercanggah dengan keadaan ekonomi Kelantan sebagaimana mana-mana kerajaan, mereka belanjakan wang itu sebagai amanah daripada rakyat,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS