Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap empat orang, termasuk dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana gagal menghadiri perbicaraan semalam berhubung kes perhimpunan `Arsenik 2' di perkarangan Masjid Negara pada November 1999.

Mereka adalah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan Naib Presiden PKR, Dr Sanusi Osman. Dua orang lagi ialah bekas pengarah filem, Hishamuddin Rais dan Abdul Rahman Ariffin.

Peguam Hasnal Rezua Merican berkata, Majistret Mohd Khairil Harun mengeluarkan perintah itu ketika menangguhkan perbicaraan ke atas 27 orang yang didakwa menyertai perhimpunan itu, termasuk Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor. Hasnal mewakili Ezam.

Yang lainnya termasuk Naib Presiden PKR, Azmin Ali; bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim; Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT), Badrul Amin Baharun dan bekas Setiausaha Pemuda PKR Lokman Nor Adam.

Mereka dituduh menyertai perhimpunan secara haram dari Masjid Negara menuju Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agung berhubung dakwaaan kes keracunan arsenik terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka diwakili oleh peguam P C Prabakaran, Nasrul Omar, Latheffa Koya, Amir Hamzah dan P Chandran.

Mengaku tidak salah

Hasnal berkata, Tian Chua, Dr Sanusi, Hishamuddin dan Abdul Rahman gagal mengemukakan sebarang alasan mengapa mereka tidak hadir dalam perbicaraan tersebut.

Mohd Khairil menetapkan kes tersebut disambung semula pada 12 hingga 16 Februari tahun depan.

"Peguam Sivarasa Rasiah, yang turut didakwa, juga tidak hadir kerana mempunyai kes lain di Mahkamah Rayuan dan telah memaklumkannya kepada pihak mahkamah. Manakala Abdul Malek Hussin pengerusi Mafrel mengemukakan surat cuti sakit," katanya yang juga seorang peguam.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana mengadakan perhimpunan secara haram dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda maksima RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Hasnal berkata, dalam perbicaraan semalam kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.