Beberapa pertubuhan Islam membantah forum mengenai Seksyen 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang diadakan di Pulau Pinang semalam kerana tidak mahu isu mengenai budangkuasa Mahkamah Syariah, isu murtad dan pemelukan agama, dibincangkan secara terbuka.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penganjur tidak sepatutnya membincangkan kedua-dua isu yang sensitif itu secara terbuka, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan orang yang bukan pakar dalam bidang agama.

"Kami mempersoalkan mengapa Majlis Peguam campurtangan dalam halehwal agama Islam secara terbuka kerana mereka boleh menyuarakannya melalui pejabat agama," katanya lagi.

Mohd Azmi mendakwa, penganjur berkenaan juga sedang berusaha untuk mengelirukan masyarakat, manakala Majlis Peguam pula mempunyai niat untuk mempersoalkan peraturan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam urusan murtad dan pemelukan agama Islam, dengan merujuk kepada kes M Moorthy dan Nyonya Tahir.

"Teras meminta pihak berkuasa menyiasat kumpulan ini yang sedang mengapi-apikan masyarakat dengan tafsiran mereka terhadap hak asasi manusia yang mengelirukan," katanya.

Pengerusi Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, isu tersebut perlu dibincangkan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut dan bukannya terbuka kepada semua orang.

Katanya, umat Islam bimbang kerana ramai daripada penggerak utama forum tersebut adalah mereka yang menganggotai Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Sementara itu, Pengerusi JIM Pulau Pinang, Mohd Rashid Hasnul ketika dihubungi berkata, konvensyen tersebut cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyokong cadangan meminda seksyen 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Perlembagaan

Katanya, forum tersebut dijadikan landasan oleh mereka untuk menuntut pindaan ke atas perkara berkaitan agama Islam yang sudah lama termaktub dalam perlembagaan negara.

"Sepatutnya satu perbincangan yang membabitkan pakar agama diadakan bagi menghuraikan permasalahan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kebebasan bersuara dan memberi pendapat perlu dikekalkan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Naib ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, jika tidak berpuas hati dengan forum tersebut, mereka boleh mengadakan forum sendiri.

"Kita tidak boleh menghalang organisasi untuk membudayakan pendebatan ilmiah, sebaliknya ia perlu digalakkan lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa yang sama, Shamsul mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan Mahkamah Perlembagaan bagi membicarakan kes besar dan penting seperti yang dibuat di Thailand.

Baru-baru ini, Mahkamah Perlembagaan Thailand membatalkan keputusan pilihanraya umum negara itu dan mengarahkan pilihanraya umum diadakan semula.