Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MH370: Bersuaralah, desak Kit Siang pada pemimpin BN
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 11:49 AM
Dikemaskini: 4:34 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, menggesa pemimpin BN yang sebelum ini menganggotai kerajaan agar bersuara menjawab dakwaan mengejutkan dibuat bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott, mengenai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370.

Abbot mendakwa, dia diberitahu oleh pegawai kanan Malaysia bahawa kemalangan menimpa pesawat udara itu disebabkan tindakan juruterbangnya yang membunuh diri bersama seluruh penumpangnya.

Kata Lim rakyat Malaysia dan Australia mesti terkejut dengan laporan rangkaian stesen TV Sky News yang memetik Abbot bahawa dia dimaklumkan mengenai maklumat berkenaan.

"Dunia tentu menanti-nanti siaran laporan bersiri dua bahagian itu malam ini dan malam esok kerana ia akan mendedahkan butiran penting mengenai kehilangan MH370," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Abbott merupakan perdana menteri ke-28 Australia yang mengetuai kerajaan negara itu antara 18 Sept 2013 hingga 15 Sept 2015. Tragedi MH370 berlaku pada 8 Mac 2014 dan sehingga kini tanda tanya keberadaan pesawat dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing itu belum terjawab.

Katanya, ada maklumat "peringkat tertinggi" daripada kerajaan Malaysia yang mendakwa kemalangan itu merupakan suatu plot membunuh diri oleh juruterbangnya.

Dakwaan Abbot, 62, terkandung dalam dokumentari bertajuk MH370: The Untold Story yang bakal ditayangkan di Australia melalui rangkaian Sky News.

Tak dapat pastikan punca

Pesawat malang berkenaan dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal.

"Mengikut apa yang saya faham - kefahaman saya yang sangat jelas - daripada peringkat yang paling tinggi dalam kerajaan Malaysia bahawa sejak awal-awal lagi mereka berpendapat ia adalah jenayah bunuh diri yang dilakukan oleh juruterbang.

"Saya tidak akan menyatakan siapa yang berkata begitu kepada siapa, tetapi saya menegaskan sekali lagi - saya mahu ia betul-betul jelas - ia difahamkan oleh peringkat tertinggi bahawa (kemalangan kapal terbang) itu hampir pasti (akibat) bunuh diri oleh juruterbangnya," kata Abbott. 

Kata Lim sebuah suruhanjaya antarabangsa wajar ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan pesawat udara Boeing 777 tersebut ekoran dakwaan dibuat Abbot itu.

Operasi pencarian terkini untuk mengesan pesawat udara itu berakhir pada Mei 2018 membabitkan syarikat penerokaan berpangkalan di AS, Ocean Infinity. Bagaimanapun usaha tersebut gagal mengesan sebarang maklumat selepas mencari lebih di kawasan seluas lebih 112,000km persegi selama lebih tiga bulan.

Pada Julai 2018, Pasukan Siasatan Keselamatan MH370 - dalam laporannya yang setebal 449 halaman - membuat kesimpulan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan kapal terbang berkenaan.

Mereka bagaimanapun tidak itu menolak kemungkinan wujud "campur tangan yang menyalahi undang-undang" oleh pihak ketiga yang menyebabkan kejadian itu.

"Good night. Malaysian three-seven-zero (Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir direkodkan daripada juruterbang terbabit kepada menara kawalan sebelum ia hilang dari radar pada jam 1:21 pagi.

Data satelit menunjukkan pesawat itu kemudian menyimpang, membuat beberapa siri pusingan tidak teratur di Selat Melaka dan kemudian menuju ke Lautan Hindi.

Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap telah ditemui, yang dikenali sebagai flaperon, disahkan sebahagian daripada MH370.

Lihat Komen
ADS