Zulhasnan serah balik nombor WPA 1 kepada JPJ
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique mengambil keputusan untuk menyerahkan kembali nombor pendaftaran WPA 1 kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan tercetus kontroversi mengenainya.
Katanya, keputusan untuk mempamerkan nombor pendaftaran tersebut di papan kenyataan JPJ Wilayah Persekutuan pada 24 April lalu, telah menimbulkan kekeliruan terhadap prosedur penawaran JPJ.
"Oleh itu, saya berpandangan adalah lebih baik sekiranya nombor WPA 1 ini diserahkan balik kepada JPJ Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau menjelaskan nombor pendaftaran itu telah ditawarkan secara percuma secara lisan oleh pengarah JPJ Wilayah Persekutuan pada 15 Mac lalu.
Katanya, ia telah mendapat kelulusan Ketua Pengarah JPJ secara bertulis pada 29 Mac lalu sebagai nombor plat bagi kegunaan kenderaan rasmi kerajaan sahaja.
"Penawaran ini juga merupakan peruntukan menteri yang telah dipersetujui Kabinet pada April 2004," katanya.

