Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada elemen hutan dara punca cadangan mansuh status hutan simpan

Cadangan untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibuat kerana 40 peratus kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara, selain mengelakkan aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal.

Justeru, katanya, masyarakat serta komuniti berkaitan boleh mengemukakan pandangan atau bantahan kepada Jabatan Perhutanan Selangor sebelum 5 Mac ini.

“Sekarang baru proses kedua cadangan pemansuhan.

"Kita akan lalui semua proses (dalam carta aliran pewartaan keluar hutan simpan kekal) terlebih dahulu. Sekiranya laporan teknikal ‘tidak baik’ kita akan nilai semula cadangan berkenaan.

“Setakat ini, kita sudah menerima lebih 2,000 bantahan terhadap cadangan itu, sebahagiannya hanyalah sentimen, tetapi saya gembira kerana ada kesedaran dalam kalangan masyarakat (mengenai isu ini),” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata cadangan itu juga tidak akan mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor kerana ia akan diganti ke kawasan baru dengan tambahan keluasan lebih 121 hektar berbanding Hutan Simpan Kuala Langat Utara ketika ini.

Amirudin berkata setakat ini, Selangor mempunyai 70 hutan simpan yang diwartakan.

Akan nilai semula

“Selaras dengan cadangan pemansuhan pewartaan tersebut, kerajaan negeri menyediakan empat kawasan hutan yang kurang diteroka sebagai ganti kepada Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang berkeluasan 931.17 hektar itu.

"Lokasi ini mempunyai ciri-ciri hutan paya gambut dan ekosistem yang lebih kurang sama dengan hutan simpan berkenaan.

“Sekiranya cadangan tersebut diluluskan, kita akan pilih tiga lokasi hutan berkenaan sebagai hutan simpan baru,” katanya.

Beliau berkata empat lokasi tersebut ialah kawasan hutan di Sungai Panjang, Sabak Bernam; Hutan Simpan Sabak Bernam; Hutan Simpan Taman Alam, Kuala Selangor dan hutan di Ampang Pecah, Ampang.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa cadangan itu menjejaskan perkampungan Orang Asli, Amirudin menafikannya, dan berkata kerajaan negeri mengeluarkan kawasan tersebut daripada hutan simpan berkenaan.

“Kerajaan negeri telah keluarkan 404 hektar tanah melibatkan empat perkampungan Orang Asli dengan 1,000 penduduk daripada keluasan hutan simpan tersebut. Jadi, tidak benar dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri mahu mengganggu-gugat masyarakat itu.

“Mungkin ada isu lain yang dibangkitkan iaitu perkuburan lama Orang Asli Temuan di situ.

"Kita akan nilai semula hal ini selepas proses bantahan tamat, dan kalau boleh kita keluarkan kawasan itu (daripada hutan simpan), kita akan lakukan,” katanya.


Baca 'Apa erti hidup kami tanpa hutan?'


Amirudin berkata beliau menganggap tuduhan dan dakwaan pihak tertentu menerusi media massa berhubung cadangan itu sebagai separuh matang, terpesong dan tidak benar kerana kerajaan negeri tidak akan sekali-kali mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS