Sambutan ulangtahun Umno diadakan di Istana Besar, Johor Bahru Khamis lalu adalah atas perkenan Sultan Johor bagi mengingati sejarah penubuhannya parti terbesar orang Melayu itu di istana 60 tahun lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Sultan Johor juga berkenan berangkat menghadiri dan bertitah di majlis tersebut.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, veteran Umno dan ribuan penyokong itu membanjiri perkara istana tersebut.

"Istana Johor dan rakyat menubuhkan Umno pada 1946 untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah British pada waktu itu.

"Kerana signifikannya kepada penubuhan Umno, baginda mahu sambutan ulangtahun ke-60 itu diadakan di Istana Besar, Johor Bahru," katanya.

Muhd Taib menegaskan demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub bahawa Umno menggunakan Istana ketika mengadakan sambutan ulangtahun ke-60 parti itu baru-baru ini.

'Baca sejarah'

Muhd Taib berkata, PAS juga boleh mengadakan ulang tahun parti itu di mana-mana istana jika mendapat persetujuan dari sultan.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga menasihatkan Salahuddin supaya membaca sejarah penubuhan PAS yang menurutnya bukan kerana perjuangan membela rakyat atau menegakkan Islam.

Sebaliknya kata beliau, PAS ditubuhkan kerana bekas Pengerusi Biro Agama Umno ketika itu, Ahmad Fuad Hassan tewas ketika menentang Tunku Abdul Rahman merebut jawatan presiden Umno.

Sementara itu, Senator Nordiana Shafie berkata, tidak salah Umno mengadakan ulangtahun ke-60 di Istana Besar kerana Umno lahir di Istana Besar itu 60 tahun lalu

Katanya, Umno memang berasal dari Istana Johor dan tidak salah merayakan sambutan ulang tahun di Istana sebagai menghormati penubuhannya.

Katanya, PAS menimbulkan isu itu kerana mereka cemburu dengan sokongan pihak istana kepada Umno yang berjuang mendapat kemerdekaan dari British.