Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan mereka yang membuat propaganda kononnya kerajaan merampas tanah rakyat sebagai pengkhianat kerana enggan melihat rakyat dimajukan.

"Kerajaan tidak ada niat sama sekali hendak merampas tanah rakyat. Rakyat yang pilih kerajaan, takkan kerajaan nak rampas tanah mereka pula," katanya.

Berucap di majlis "Pemimpin Bersama Rakyat" di Masjid Darul Solihin, Debak, dekat Betong hari ini Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkata, pemerintah mempunyai lebih banyak tanah berbanding tanah yang dimiliki oleh rakyat.

Menurut laporan Bernama, di majlis yang sama, Taib turut menyerahkan 600 surat hakmilik tanah kepada penduduk di sekitar Debak.

Katanya kerajaan mahu memajukan rakyat dengan mengajak mereka mengubah daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden dengan menyatukan tanah mereka menjadi estet agar boleh diusahakan secara lebih komersial hasil suntikan modal yang besar daripada pelabur.

Diusaha bersama

"Rakyat yang mempunyai tanah menjadikan tanah mereka sebagai saham di dalam estet yang diusahakan secara bersama dengan syarikat perladangan yang besar.

"Rakyat tidak kehilangan tanah apabila menyertai skim tersebut kerana mereka mempunyai saham dalam projek tersebut," katanya.

Taib berkata, kerajaan hanya mahu memajukan rakyat yang terbabit dalam sektor pertanian itu memandangkan semakin lama semakin ramai anak muda yang berhijrah ke bandar dan tidak lagi berminat bekerja mengerjakan tanah pertanian.

Sekiranya kerajaan mengambil tanah rakyat untuk tujuan pembangunan seperti membina jalanraya, sekolah dan hospital, kerajaan akan membayar pampasan kepada mereka, katanya.

Sehubungan itu, Taib meminta rakyat supaya tidak terpedaya dengan propaganda pengkhianat itu yang tidak mahu melihat rakyat maju.