mk-logo
Berita
AG: Had tempoh warta LTTE pengganas boleh jejas kes pendakwaan
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 10:24 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Peguam Negara Tommy Thomas berkata tindakannya tidak meneruskan prosiding terhadap 12 individu atas pertuduhan terbabit dengan Kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Elam tidak bermaksud mempertikaikan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

"Menteri dalam negeri memang sangat benar. Beliau mempunyai prerogatif (kuasa) untuk mewartakan atau membatalkan warta terhadap mana-mana kumpulan atau individu (sebagai pengganas)," jelasnya dipetik laporan TMI.

Sebaliknya, Thomas berkata beliau hanya bermaksud menarik perhatian terhadap peruntukan mengenai tempoh had dalam Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 yang akan menjejaskan kes pendakwaan.

Dalam kenyataannya semalam, peguam negara berkata perintah menteri dalam negeri mewartakan entiti kumpulan pengganas tidak dimaksudkan untuk "kekal dan bertahan selama-lamanya."

"Seksyen 66B(9) oleh itu memperuntukkan bahawa menteri tersebut hendaklah mengkaji semula perintah yang dibuatnya “tiap-tiap 6 bulan untuk menentukan sama ada masih terdapat alasan yang munasabah bagi perintah tersebut untuk terus terpakai bagi sesuatu entiti tertentu”, dan sekiranya menteri tersebut menentukan bahawa tidak terdapat alasan yang munasabah, beliau hendaklah dengan segera membatalkan perintah yang dibuatnya sebelum ini.

"Oleh itu ianya jelas dan nyata bahawa undang-undang menghendaki suatu perintah mengisytiharkan sesuatu entiti sebagai kumpulan pengganas hendaklah dikaji semula setiap 6 bulan oleh menteri tersebut.

"Sekiranya tindakan-tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berterusan, perintah tersebut dikekalkan.

"Jika sebaliknya, tindakan-tindakan sedemikian telah berhenti atau entiti tersebut telah hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan, maka perintah tersebut seharusnya dibatalkan," kata Thomas semalam.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

LTTE sudah tidak lagi berfungsi pada tahun 2009 selepas dikalahkan tentera Sri Lanka.

Thomas juga berkata masa LTTE diwartakan juga boleh memberi kesan terhadap kes pendakwaan.

Ini kerana LTTE hanya diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas pada November 2014, manakala salah seorang tertuduh dikenakan tuduhan untuk aktiviti pada bulan Mac dan Jun 2014.

"Ia adalah jelas bahawa pertuduhan-pertuduhan tersebut yang dikenakan ke atasnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa tersebut LTTE belum lagi digazetkan, yang merupakan elemen yang dikehendaki untuk kesalahan-kesalahan tersebut.

"Tambahan pula, pihak pembelaan bagi setiap tertuduh boleh menghujahkan bahawa perisytiharan bahawa LTTE adalah kumpulan pengganas pada 12 November 2014 berkemungkinan tidak sah atau setidak-tidaknya patut dibatalkan selaras dengan kajian semula Perintah di bawah Seksyen 66B(9)," jelas Thomas semalam.

Terdahulu, Muhyiddin berkata terdapat alasan yang kukuh untuk mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dan perintah warta itu dibawah bidang kuasanya dan bukan peguam negara.

Lihat Komen
ADS