Cadangan tersebut dibuat oleh Senator Dr. Mohd Puad Zarkashi dan dipersetujui oleh Senator Sharipah Aminah Syed Mohamed yang melahirkan simpati dengan nasib kaum lelaki masa kini.

"Saya kesian dengar rungutan (Senator) Puad tadi, kerana kini dalam universiti lebih ramai wanita, manakala pusat serenti lebih ramai lelaki. Mungkin kena wujud kementerian untuk mengatasi masalah lelaki 'akuarium' dan lelaki yang jadi suri rumah tangga," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kerajaan tidak bercadang berbuat demikian walaupun terdapat kes-kes lelaki didera dan dieskploitasi oleh kaum wanita.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Setakat ini, katanya, kerajaan melihat isu-isu membabitkan kebajikan kaum wanita adalah lebih banyak dan memerlukan lebih pembelaan berbanding kaum lelaki.

"Kes-kes lelaki yang didera oleh wanita agak kecil bilangannya berbanding wanita yang didera lelaki. Jadi adalah lebih baik kementerian menumpukan kepada kebajikan wanita berbanding lelaki. Bagaimanapun saya akui itu pandangan baik," kata beliau.

Selain isu itu, beberapa senator turut membangkitkan isu poligami dan sama ada kerajaan akan menggalakkan para suami yang baik dan mampu untuk berkahwin lagi bagi membela nasib wanita dan mengatasi kaum wanita bujang yang lebih ramai daripada lelaki.

Isu poligami

Senator Ismail Kassim dan Senator Datuk Rizuan Abd. Hamid meminta supaya KPWK menggalakkan poligami bagi membantu ibu tunggal atau wanita yang belum berkahwin.

Idea itu dibantah oleh beberapa senator wanita seperti Senator Sharifah Azizah Syed Zain yang berkata: "Islam hanya membenarkan poligami jika benar-benar mampu dalam semua segi."

Senator Datuk Azizah Abd. Samad yang menentang idea itu berkata perangkaan semasa menunjukkan bahawa jumlah kaum lelaki yang belum berkahwin adalah lebih tinggi daripada wanita.

Chew mengesahkan kenyataan itu dengan berkata taburan penduduk pada tahun 2000 menunjukkan lelaki yang belum berkahwin ialah seramai 48.1 peratus manakala wanita yang belum berkahwin ialah 38 peratus.

Chew semasa mahu menutup penggulungan diusik Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang bangun mencelah ingin tahu kenapa beliau masih belum berkahwin.

"Yang Berhormat tak kenalkan kawan pada saya, jadi saya tak kahwinlah," katanya disambut gelak ketawa oleh ahli dewan.