PM tegur syarikat telekomunikasi
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan kerana gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan kerana gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
Menurut beliau, walaupun di kawasan membangun, masih ada yang tidak menikmati liputan perkhidmatan terbaik.
"Tengah cakap terputus, lepas itu, jalan lima minit, terputus lagi. Ini bukanlah satu perkhidmatan yang 100 peratus baik.
"Sebagai negara moden yang sedang meningkat maju, maka perkhidmatan seperti ini mesti dipastikan berada pada tahap terbaik," katanya.
Perdana Menteri mahu liputan perkhidmatan telefon di negara ini mencapai tahap 100 peratus.
Beliau turut melahirkan kekesalannya terhadap sikap sesetengah syarikat telekomunikasi yang lambat bertindak terhadap permintaan kerajaan.
"Pihak kementerian digesa supaya menggunakan ketegasan dalam hal ini. Dengan cara itu, kerjasama daripada mereka akan diperolehi," katanya dalalam sidang media di Putrajaya semalam.
Mengenai tariff eletrik pula, beliau berkata, kabinet mahu cadangan kenaikan struktur tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dikaji lebih lanjut bagi memastikan seramai mungkin golongan berpendapatan rendah tidak terjejas dengan tarif elektrik yang lebih tinggi.
Katanya, arahan mengenai perkara itu telah dibuat kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan juga TNB.
"Kita mengambil tindakan ini kerana kerajaan sentiasa mengambilkira kebajikan orang ramai. Sebab itu kita ambil masa agak panjang untuk membuat keputusan. Kita juga mengambil kira yang rakyat Malaysia juga membayar harga minyak yang lebih tinggi daripada dulu. Inipun dikira satu kesusahan kepada mereka," jelasnya.
Katanya lagi, kabinet mahu memastikan seramai mungkin golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas dengan struktur tarif yang akan dicadangkan.
Rangka kerja
Sementara itu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang mengulas kenyataan Perdana menteri itu pula berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah mereka yang menggunakan tenaga elektrik sebanyak 150kW/jam atau kurang dalam sebulan, dikenakan bayaran RM30.
Menurut laporan Bernama, hanya mereka yang menggunakan tenaga elektrik lebih daripada itu akan terbabit dengan kenaikan kadar elektrik yang baru.
Mengenai bekalan air, Abdullah mengarahkan kementerian berkenaan menyediakan satu rangka kerja bagi mengatasi masalah air tidak berhasil yang antara lain disebabkan oleh paip rosak atau penggunaan air yang tidak dibayar.
Menurutnya, kebanyakan negeri selain Pulau Pinang menghadapi masalah itu sehingga mencapai tahap 40 peratus, bahkan ada yang sampai lebih 50 peratus daripada bekalan air.
"Ini merupakan satu kerugian amat besar yang mesti diatasi dengan segera," katanya.
Bekalan air antara negeri Selangor dan Pahang juga sedang diberikan perhatian yang aktif, kata Abdullah yang berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

