Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

KATA MP l Konsep Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kerajaan perpaduan masih kabur. Definisi perpaduan yang difahami parti politik yang menguasai parlimen atas mandat rakyat tidak semestinya menjadi ahli kabinet.

Dr Mahathir menjadikan kuasa perdana menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai kabinet.

Ini adalah ironinya kehadiran Pakatan Harapan (PH) adalah untuk mereformasikan instituisi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya. Kehadiran PH di pesada kuasa adalah atas mandat rakyat.

Kehendak rakyat mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab. Ini adalah hasrat murni untuk memelihara perpaduan dan PH cuba memenuhinya selama hampir dua tahun.

Pembentukan kerajaan dengan mandat ini memandu kabinet PH untuk cuba memenuhinya melalui manifesto yang dipersetujui oleh parti-parti PH. Kenapa tiba-tiba semua ini 'dibuangkan' dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang kabur?

Kerajaan PH telah membawa usaha-usaha memulihkan negara dengan meletakkan dasar-dasar utama seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Negara Rahmah, Pelan Induk Memerangi Rasuah, dan Isytihar Harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen.

Akta-akta pula dibawa untuk memenuhi tuntutan reformasi akta parlimen, antara lain pengundian umur 18 tahun, menarik balik akta anti berita palsu, Pindaan untuk memenuhi MA 1963 dan Akta Profesion Guaman Syarie dan lain-lain lagi.

Semua usaha ini yang baru berumur tak sampai dua tahun diganggu-gugat dengan nuansa perkauman, agama sempit dan politiking berterusan oleh pembangkang yang menggugat stabiliti dan perpaduan.

Sepatutnya kerajaan PH perlu dipertahankan kerana isunya bukan hendak menggantikan sistem dengan Kerajaan Perpaduan tetapi meneruskan usaha reformasi demi memelihara Perpaduan.

Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi.

Mungkin apa yang Dr Mahathir sebut bahawa kerajaan perpaduan banyak cabarannya memang betul tetapi menafikan usaha reform selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah keterlaluan. Orang lain buat onar tiba-tiba PH sebagai kerajaan reform pula dikatakan gagal?


MUJAHID YUSOF adalah naib presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS