Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja-Raja Melayu bersidang esok
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 2:10 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Raja-raja Melayu akan bersidang bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok sebelum solat Jumaat, menurut laporan di akhbar The Star.

Seri Paduka, sejak Selasa lalu telah berjumpa dengan semua ahli parlimen dan beberapa pemimpin parti politik. Hari ini, baginda berkenan menerima mengadap perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.

Semua ini susulan krisis politik yang menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Seorang jurucakap Istana Negara walau bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu belum disahkan.

Sementara itu, Bernama yang memetik sumber, melaporkan Raja-raja Melayu yang dijangka menghadiri mesyuarat khas berkenaan, antaranya adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Turut dipercayai akan berangkat menghadiri mesyuarat khas itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu dikatakan diadakan bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan Bersatu keluar daripada PH.

Isnin lalu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh serta pengerusi Bersatu dan beberapa jam kemudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantiknya sebagai perdana menteri interim.

Selasa dan Rabu lalu, Seri Paduka menemu bual semua ahli parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.

Mahathir ketika ini menjemput semua ahli parlimen untuk bersamanya membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang tidak terikat dengan tekanan daripada sebarang parti politik.

Walau bagaimanapun, PKR, DAP dan Amanah berikrar untuk tetap bersama sebagai PH dan telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka serta mengulangi komitmen mereka untuk menunaikan janji-janji yang dibuat dalam manifesto PRU-14.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS