Mesyuarat Majlis Raja-raja diharap selesai kemelut negara
Kemelut politik yang melanda negara nampaknya belum menemui noktah.
Episod demi episod yang berlaku saban hari sejak Ahad lepas dilihat seperti akan berpanjangan.
Hari ini sebelum solat Jumaat, Majlis Raja-raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara.
Keputusan daripada mesyuarat itu pastinya penting. Antaranya difahamkan berhubung situasi politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.
Antaranya meneruskan kerajaan baru, serta pembubaran Dewan Rakyat.
Hasil mesyuarat itu pasti ditunggu-tunggu agar merungkai kekusutan kemelut peralihan kerajaan yang sedang berlaku.
Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baru.
Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di parlimen selepas baginda mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.
Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata semua proses berkaitan pemilihan perdana menteri baru pada persidangan khas berkenaan akan ditentukan selepas menerima surat yang lengkap daripada Mahathir.
Dalam pada itu, hari ini parti-parti politik dijangka mengadakan mesyuarat khas masing-masing bagi membincangkan situasi terkini dan langkah mereka dalam kemelut ketika ini.
Apa yang berlaku di peringkat Persekutuan dijangka memberi kesan kepada kerajaan negeri, dengan kemungkinan pertukaran kerajaan beberapa negeri.
- Bernama

