Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik, Jaffari Waliam, mengumumkan keluar bersama-sama 3,144 ahli daripada 23 ranting PKR di cabang Libaran hari ini.

Jaafari, yang juga Ketua Cabang PKR Libaran, berkata 32 daripada 38 ahli jawatankuasa cabang itu turut melepaskan jawatan masing-masing dan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata cabang PKR Libaran itu juga dibubarkan selepas 3,144 ahli atau dua pertiga daripada 4,000 ahli cabang daripada 35 ranting itu mengisytiharkan keluar parti.

"Kami telah hilang kepercayaan terhadap presiden parti (Anwar Ibrahim), yang telah terbukti gagal menguruskan parti.

"Presiden hanya mementingkan kelompok tertentu dan meminggirkan yang lain, terutama pejuang asal yang berkorban (untuk parti) sepanjang 20 tahun," katanya pada sidang media di Sandakan, Sabah hari ini.

Menurut Jaffari, keputusan keluar parti dibuat susulan pemecatan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin daripada parti.

Beliau juga berkata kumpulan ahli yang keluar parti itu menyokong Dr Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri dan kepimpinan Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS