Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M tinggalkan mesyuarat Bersatu separuh jalan?
Diterbitkan:  Feb 28, 2020 11:46 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Mesyuarat Bersatu pagi tadi yang dihadiri 36 ahli parlimen Bersatu termasuk kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dikatakan berlangsung dengan tegang, lapor Berita Harian.

Malah, laporan itu yang memetik sumber berkata, Dr Mahathir Mohamad yang kembali menjadi pengerusi Bersatu meninggalkan mesyuarat itu separuh jalan.

“Tun (Mahathir) hanya masuk sekejap dan tinggalkan mesyuarat disebabkan pendirian Bersatu untuk bekerjasama dengan PAS dan Umno,” lapor Berita Harian memetik sumber.

Sumber itu juga dipetik berkata bahawa wujud percanggahan pendirian dalam Bersatu antara Mahathir dan ‘kem’ Muhyiddin.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya hari ini berkata mesyuarat Bersatu pagi tadi memutuskan untuk mencalonkan presiden mereka Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pengumuman itu seterusnya mendapat sokongan daripada BN dan PAS, yang membolehkan Muhyiddin kini memegang 96 sokongan ahli parlimen.

Mahathir, yang merupakan perdana menteri sementara, sebelum ini berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan yang "tidak berpihak pada mana-mana parti", selain enggan bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir kemudian berkata Muhyiddin mempunyai sikap yang lebih santai dan sanggup bekerjasama dengan Umno sebagai sebuah parti.

Diminta mengulas mengenai laporan laporan yang mengatakan Mahathir meninggalkan mesyuarat, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Redzuan Yusof berkata "ia perkara biasa".

"Kalau libatkan diri saya sendiri, saya akan ambil berkecuali, kerana tak adil untuk saya duduk di situ. Dia akan berkecuali untuk menghadiri mesyuarat selanjutnya.

"Beliau bukan begitu keluar, mohon supaya perkara itu tidak dibincang berulang kali, kerana beliau sudah menyatakan pendiriannya," katanya ketika ditemui pemberita di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, malam ini.

Ditanya sama ada mesyuarat berkenaan membelakangkan prinsip Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno, Redzuan berkata ia sekadar "persepsi".

"Ini persepsi. Kita tak boleh katakan orang-orang dalam sesuatu kumpulan itu jahat, perompak, pencuri. Kita ada undang-undang uruskannya. Jadi tidak akan korbankan prinsip itu.

"Prinsip sama yang kami bawa dulu dalam Pakatan Harapan," katanya.

Lihat Komen
ADS