Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M senaraikan sokongan 115 MP, mahu serah pada Agong
Diterbitkan:  Feb 29, 2020 10:54 PM
Dikemaskini: 4:14 PM

Perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad malam ini mengeluarkan senarai 114 ahli parlimen yang menyokongnya dan sedia menjelaskan sokongan yang diterimanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8.

"Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

"Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Bagaimanapun, dalam kemas kini terbaru senarai itu pukul 11.50 malam, PH memasukkan nama Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow PKR yang tertinggal dalam senarai asal sebelum ini.

Dalam kenyataan itu juga, Mahathir yang merujuk dirinya sebagai pengerusi Bersatu berkata beliau dan lima ahli parlimen partinya yang lain tidak bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin Yassin.

Lima ahli parlimen itu, kata Mahathir, sudah menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan kepadanya.

Lima ahli parlimen Bersatu yang disenaraikan itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

Sebelum ini, hanya tiga jam selepas menyatakan sokongannya kepada Mahathir, Maszlee dalam kenyataan susulannya mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, kenyataan tentang pelantikan Muhyiddin yang dimuat naik di Facebook itu sudah dipadam.

Selepas pengumuman bahawa Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Eddin Syazlee pula yang dikatakan sedang menuju ke Yayasan Albukhary, tempat pemimpin PH berkumpul, sebaliknya dilihat hadir di kediaman Muhyiddin. Beliau bagaimanapun beredar tidak sampai setengah jam selepas tiba.

Sementara itu, dalam senarai yang dikongsi Mahathir, selain ahli-ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah sedia ada yang memberi sokongan pada Mahathir, senarai itu juga menampilkan beberapa nama ahli parlimen lain.

Antara nama lain yang mencuri tumpuan ialah Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Richard Riot (Serian) yang disenaraikan di bawah PKR.

Selain itu, turut disenaraikan ialah Maximus Ongkili (Kota Marudu) dari Gabungan Bersatu Sabah, calon bebas Baru Bian (Selangau), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Masir Kijat (Sri Aman).

"Kesemua jumlah ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8 di dalam bentuk akuan berkanun dan juga surat-surat rasmi dari Ketua-Ketua Parti akan saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Senarai penuh ahli parlimen yang dikongsikan Mahathir itu adalah seperti di bawah.

 

 

 

Lihat Komen
ADS