Konvensyen Umno peringkat bahagian di Terengganu yang selesai diadakan minggu lalu, menjadi medan perwakilan meluahkan rasa tidak puashati terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berhubung pengagihan projek pembangunan di negeri tersebut.

Mereka dikatakan tidak puas hati kerana mendakwa Menteri Besar terlalu mengutamakan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan pilihanraya di Besut amnya dan di Dewan Undangan Negeri (Jertih) yang diwakili Idris, khasnya.

Malaysiakini difahamkan, isu tidak puas terhadap Menteri Besar Terengganu itu akan dibangkitkan dalam Konvensyen Umno Terengganu Julai ini, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno.

Menurut sumber, ini berikutan pembangunan banyak dilaksanakan di kawasan Parlimen Besut, termasuk DUN, walaupun sebelum ini beliau pernah berjanji untuk memajukan seluruh negeri Terengganu.

"Universiti Darul Iman (UDI) yang sepatutnya dibina di Marang telah dipindahkan ke Besut. Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dibina di Besut.

"Sedangkan sebelum ini Idris berjanji UDI akan dibina di Marang kerana tapaknya di Bukit Kor sudah disediakan," kata sumber itu lagi.

Ubah jajaran LPT

Idris yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu apabila Barisan Nasional (BN) merampas neger itu daripada PAS dalam pilihanraya umum 2004.

Sumber itu mendakwa, pembahagian kontrak kerajaan kini banyak diperolehi oleh ahli-ahli perniagaan yang dikatakan rapat dengan menteri besar tersebut.

"Orang Besut kini mendapat projek bukan sahaja di tempat mereka, tetapi juga di daerah lain seperti Kuala Terengganu dan Kemaman," katanya lagi.

Beliau berkata, fenomena ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat kerana mereka mengharapkan pentadbiran yang telus di bawah BN.

Rakyat Terengganu juga dikatakan tidak berpuas hati dengan perubahan jajaran Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kerana jajaran baru lebih tertumpu kepada kawasan Hulu Terengganu dan Besut.

"Nampaknya semua projek-projek besar menghala ke Besut sedangkan banyak lagi daerah-daerah lain yang ketinggalan," kata sumber berkenaan.