Anak Najib gagal dapat penangguhan saman RM37.6j LHDN
Anak lelaki Najib Razak hari ini gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan saman kerajaan bernilai RM37.6 juta yang dikenakan ke atasnya.
Justeru, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 28 April ini untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan ringkasan penghakiman ke atas Mohd Nazifuddin Najib.
Hal itu disahkan peguam bela Nazifuddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, semasa dihubungi Malaysiakini tengah hari tadi.
"Hakim memutuskan tiada keadaan khusus untuk membenarkan permohonan penangguhan (oleh Nazifuddin). Ia adalah penghakiman lisan yang ringkas," katanya.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan mengemukakan saman berkaitan cukai kepada anak lelaki Najib yang kini berusia 37 tahun itu.
Dia didakwa gagal membayar RM1,541,850.83, RM5,718,486.42, RM5,437,086.08, RM3,775,133.23, RM1,796,494.18, RM2,271,812.79, and RM12,052,046.26 penilaian cukai tambahan untuk tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017.
Dia dikenakan denda 10 peratus daripada jumlah tunggakan itu kerana didakwa gagal membayar balik cukai dalam tempoh 30 hari setelah menerima notis taksiran di pejabat LHDN di Kuala Lumpur pada 18 Mac.
Ekoran gagal membuat bayaran dalam tempoh 60 hari, defendan dikenakan denda tambahan lima peratus lagi, menjadikan jumlahnya RM37,644,810.73.
Kerajaan juga menuntut faedah pada kadar tahunan lima peratus dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes, serta kos dan apa-apa bantuan lain yang dianggap patut oleh mahkamah.
Pada 24 Okt lalu dilaporkan kerajaan - melalui LHDN - memfailkan satu permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan ringkasan penghakiman berkenaan saman tersebut.

