Harga ayam daging di seluruh negara naik 25 sen lagi sekilogram mulai hari ini kenaikan kali kedua dalam tempoh empat hari.

Rabu lalu, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengumumkan harga ayam daging dinaikkan 40 sen Rabu lalu.

Dengan kenaikan harga hari ini, maka harga baru itu menyamai harga siling yang disyorkan kerajaan.

Dalam kenyataan, persatuan tersebut menyatakan, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (super) kini RM6.70 sekilogram berbanding RM6.45 sekilogram Rabu lalu.

Kenaikan 25 sen juga diumumkan bagi harga runcit ayam siang beserta kaki, kepala, dan hempedal (standard). Harganya sekarang ialah RM6 sekilogram, berbanding RM5.75 sebelum ini.

Harga runcit ayam hidup naik 20 sen kepada RM5 sekilogram, harga pemborong ayam siang naik 25 sen kepada RM5.40 sekilogram, harga pemborong ayam hidup naik 20 sen kepada RM4.50 sekilogram dan harga di ladang ayam hidup turut naik 20 sen kepada RM4 sekilogram.

Menurut persatuan tersebut, harga ditetapkan berasaskan kepada faktor permintaan dan bekalan semasa.