Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi dakwa baca e-mel dari KJ pada telefon, komputer Joshua

Saksi kelima dalam inkuiri berhubung kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy, hari ini mendakwa bahawa dia hanya melihat e-mel yang didakwanya dihantar oleh Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada Joshua.

Saksi berkenaan, Selvakumar Peace John Harris – seorang jurutera yang menetap di Sungai Bakap Butterworth Pulau Pinang - mendakwa dia hanya membaca e-mel tersebut menerusi telefon dan komputer riba milik Joshua pada Mei 2016.

“Tiada dengan saya (e-mel) tersebut, saya melihat e-mel tersebut dalam komputer riba dan telefon Joshua sewaktu dia berjumpa dengan saya pada May 2016 di rumah (Sungai Bakap, Pulau Pinang),” katanya semasa memberi keterangan kepada panel inkuiri di Ibu Pejabat Surahanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya kembali oleh Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus adakah dia mempunyai salinan mahupun screenshot (tangkap skrin) e-mel tersebut, Selvakumar menjelaskan bahawa dia tidak ada bukti tersebut.

Semalam, Selvakumar yang merupakan pemilik rumah yang didiami pasangan itu di Kampung Tunku, Petaling Jaya mendedahkan kepada panel inkuiri bahawa Khairy Jamaluddin telah menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “Lebih baik kamu tinggalkan negara”.

Bagaimanapun, dakwaan saksi berkenaan telah disangkal oleh Khairy yang menegaskan beliau tidak pernah secara peribadi mengenali Joshua, Ruth mahupun Selvakumar.

Terdahulu, Selvakumar juga menyorot status Facebook yang dimuat naik Joshua berkenaan aktiviti pembaptisan yang dilakukannya pada tahun 2015 dan 2016 yang lalu.

Sementara itu, ditanya Hishamuddin lagi berkenaan laporan media susulan penafian Khairy, Selvakumar bagaimanapun tetap yakin bahawa e-mel yang dilihatnya adalah dikirim Khairy.

“Saya sangat pasti dia hantar e-mel tersebut, dia tidak perlu nafi,” katanya.

Tambahnya, tindakan Khairy dalam menafikan dakwaan emel tersebut malah menunjukkan bahawa dia ada kena mengena dengan isu kehilangan pasangan tersebut.

“Ia bukti keadaan, walaupun e-mel bukan bukti yang kuat tetapi ia telah menunjukkan ke arah itu (isu kehilangan pasangan tersebut),” katanya lagi.

Selain Hishamuddin, pendengaran hari ini dipengerusikan bersama pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Untuk rekod, Joshua – yang berasal dari Taiping, Perak- memeluk agama Kristian selepas keluar daripada agama Islam dan berkahwin dengan Ruth – yang merupakan seorang warganegara Indonesia - pada 2004.

Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.

Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Inkuiri hari ini ditangguh pada 5 petang dan akan disambung semula esok.

Lihat Komen
ADS