Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
7 kes baru Covid-19 berkait dengan pesakit kes 26
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 10:25 PM
Dikemaskini: Mar 4, 2020 4:37 AM

Kesemua tujuh kes baru Covid-19 hari ini mungkin mempunyai kaitan dengan pesakit kes ke-26, menurut Kementerian Kesihatan.

Pesakit kes ke-26, yang merupakan pegawai kanan Khazanah Nasional Berhad dan UDA Holdings Berhad juga mempunyai kontak rapat dengan bekas menteri dan bekas timbalan menteri yang kedua-duanya disahkan negatif dalam ujian semalam.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar perdana menteri pada hari ini mengenai pertambahan tujuh kes baru.

“Kesemua kes ini merupakan kontak rapat bagi kes ke-26,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah.

Kes ke-30

Kes ke-30 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Australia pada 12 Februari 2020 dan telah pulang pada 16 Februari 2020. Kes tidak mempunyai sebarang gejala sebelum ini.

Kes telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan kes telah disahkan positif Covid-19 pada 2 Mac 2020. Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-31

Pesakit kes ke-31 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 50 tahun. Pesakit tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Pesakit telah dilaporkan mempunyai gejala pada 26 Februari 2020. Seterusnya pesakit telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 2 Mac 2020.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-32

Pesakit kes ke-32 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berusia 43 tahun. Pesakit tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Pesakit telah dilaporkan mempunyai gejala pada 27 Februari 2020. Seterusnya pesakit telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 2 Mac 2020.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-33

Pesakit kes ke-33 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berusia 58 tahun. Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Kuching, Sarawak bagi menghadiri mesyuarat pada 16 Februari 2020.

Seterusnya pesakit telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 2 Mac 2020.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-34

Pesakit kes ke-34 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berusia 40 tahun. Pesakit merupakan seorang paramedik di sebuah hospital dan telah memberi rawatan kepada pesakit kes ke-26.

Pesakit tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Kes telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan pesakit telah disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2020.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-35

Pesakit kes ke-35 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang berusia 50 tahun. Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Australia pada 31 Januari 2020, dan telah pulang ke Malaysia pada 16 Februari 2020.

Kes telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2020. Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Kes ke-36

Pesakit kes ke-36 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berusia 49 tahun. Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir pada 23 Januari 2020 dan telah pulang ke Malaysia pada 1 Februari 2020.

Pesakit tidak mempunyai sebarang gejala dan telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak.

Pesakit telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2020. Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Tiada bahaya yang kritikal

Semua pesakit, kecuali pesakit ke-32, telah dimasukkan ke hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Pesakit kes ke-32 dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan juga dalam keadaan stabil.

Kementerian Kesihatan berkata pihaknya masih meneliti lebih banyak kontak rapat dengan pesakit ke-26, serta dengan pesakit-pesakit baru.

Untuk rekod, pesakit kes ke-26, yang berusia 52 tahun, telah ke Shanghai, China pada pertengahan Januari tahun ini.

Dia telah mendapatkan rawatan pesakit luar di sebuah hospital swasta pada 27 Feb selepas demam dan sakit tekak.

Dia disahkan positif Covid-19 pada 29 Feb.

Berjangkit ke peringkat global

Tujuh jangkitan Covid-19 yang baru menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia sebanyak 36 kes.

Sehingga kini, 92,153 telah dijangkiti di seluruh dunia dengan 3,127 kematian.

Sebahagian besar kes di China (80,151 kes) di mana virus itu pertama kali muncul, dan kini telah merebak ke bahagian lain di dunia.

Sesetengah negara bergelut untuk melawan wabak itu dan mengalami peningkatan kes termasuk Korea Selatan (5,186 kes), Iran (2,336 kes) dan Itali (2,036 kes).

Lihat Komen
ADS