Pembangkang buat kejutan, 2 menteri muda tewas kepada calon DAP
Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Sarawak selepas memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala pembangkang membuat kejutan dengan memenangi sembilan kerusi, dalam pilihanraya negeri kali ini.
Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Sarawak selepas memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala pembangkang membuat kejutan dengan memenangi sembilan kerusi, dalam pilihanraya negeri kali ini.
Kejayaan pembangkang itu lebih manis lagi apabila DAP berjaya menumbangkan dua menteri muda Sarawak.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan kemenangan BN pada jam 8.35 malam. Manakala Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang turut mempertahankan kerusi Balingian berkata, beliau menerima keputusan rakyat yang turut memilih calon pembangkang kali ini.
Dalam pilihanraya negeri yang lalu, pembangkang hanya mempunyai satu kerusi, iaitu di Kidurong yang diwakili oleh calon DAP.
Dalam pilihanraya negeri kali ini, DAP juga berjaya merampas semula kerusi Bukit Assek (N45) apabila calonnya, Wong Ho Leng, yang juga pengerusi DAP Sarawak, berjaya menewaskan calon BN dari SUPP, Daniel Ngieng Kiong Ann.
Wong menewaskan penyandang daripada Barisan Nasional (BN) Daniel Ngieng Kiong Ann, dengan majoriti selesa 4,751 undi.
Wong, seorang peguam, mendapat 10,380 undi manakala Ngieng pula menerima 5,629 undi . Kawasan tersebut mempunyai 26,002 pengundi - 95 peratus daripadanya pengundi Cina.
BN Kembali berkuasa
Dalam pilihanraya negeri 2001, Ngieng, daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merampas kerusi berkenaan untuk BN dengan majoriti tipis 875 undi daripada Wong, yang ketika itu merupakan penyandang.
Lima kerusi lagi yang dimenangi oleh DAP ialah Kota Sentosa, Batu Lintang, Meradong, Pending dan Kidurong.
Keputusan akhir pilihanraya Sarawak kali ini ialah BN menang 62 kerusi, DAP (6), SNAP (1), PKR (1) dan Bebas (1). BN memperolehi majoriti dua pertiga pada jam 9.15 malam.
Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh pembangkang kali ini adalah kawasan yang ditandingi parti SUPP. Parti komponen BN negeri itu kalah teruk kali ini. SUPP diperuntukkan 19 kerusi tetapi hanya mampu menang 11 kerusi dan tewas lapan kerusi kepada pembangkang.
Tiga lagi parti komponen BN negeri ialah Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
PBB berjaya memenangi kesemua 35 kerusi yang diperuntukkan kepadanya. Begitu juga dengan SPDPyang memenangi kesemua lapan kerusi yang ditandinginya. PRS yang bertanding sembilan kerusi, bagaimanapun tewas satu kerusi kepada calon Bebas di Ngemah.
Bagaimanapun, SUPP yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, mengekalkan kerusi Piasau dengan memperolehi 6,573 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Francis Ngu Hee Hieng, yang mendapat 2,655 undi.
Undi majoriti 3,918 yang diperoleh Chan berkurangan sebanyak 3,719 undi berbanding 7,637 undi yang diperolehnya pada pilihan raya negeri 2001.
Sementara itu, calon DAP bagi Kota Sentosa Chong Chieng Jen telah berjaya menumpaskan calon BN yang juga Menteri Muda, Datuk Alfred Yap Chin Loi.
Manakala di Pending, seorang lagi calon BN yang juga menteri muda, Datuk Sim Kheng Hui tewas kepada calon DAP, Violet Yong.
Kejayaan DAP menambah kerusinya dalam pilihanraya negeri kali ini juga menunjukkan pengundi Cina dan Dayak memberi sokongan kepada calon pembangkang.
PKR menang di Padungan
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dominique Ng Kim Ho PKR pula menang di Padungan (N9). Beliau menewaskan calon BN dari SUPP Lily Yong Lee Lee BN SUPP.
Di Engkilili pula, calon SNAP Dr Johnical Rayong ak Ngipa berjaya menewaskan calon BN-SUPP, Jonathan Krai Pilo BN SUPP.
Calon bebas Gabriel Adit ak Demong pula menang di Ngemah (N43) . Beliau menewaskan calon BN-PRS Alexander ak Lias dan calon SNAP Richard ak Lias.
Calon DAP bagi kawasan Meradong (N4O) ialah Ting Tzu Hui menang dalam pertandingan lima penjuru. Calon-calon lain ialah Wong Zee Yeng (BN-SUPP) dan tiga calon bebas Wong Kung Kuong @ Frederick (Bebas), Junat ak Jawek (Bebas) dan David Tiong Chiong Chu.
Bagaimanapun, calon PAS, Alem Din tewas kepada calon BN, Bolhassan Di @ Ahmad dari BN-PBB. Bolhassan menang dengan majoriti 987 undi.
Sementara itu, Ketua Penerangan DAP, Teresa Kok pihak pembangkang menang besar di Kuching dan Sibu.
Beliau mendakwa, walaupun berlaku perbuatan membeli undi tetapi rakyat masih menyokong pembangkang.
Teresa juga mendakwa perbuatan politik wang hebat berlaku di kawasan Meradong yang menyaksikan pertandingan lima penjuru, yang dimenangi oleh calon DAP.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.