Paling Popular
Terkini

Bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan empat anaknya masih belum menerima surat mahkamah berkait saman tuntutan berjumlah RM328,901 oleh sebuah agensi pelancongan, atas dakwaan tiket penerbangan dan penginapan yang belum dibayar.

Ia di sebalik Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Jan telah membenarkan plaintif YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd untuk memasukkan Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin, sebagai defendan.

Pada 17 Feb, Malaysiakini melaporkan bahawa salinan pindaan writ saman bertarikh 23 Jan, yang bukan sahaja menyenaraikan Azmin, tetapi turut memasukkan empat anaknya.

Mereka ialah Farah Shazliyana, 29, Farah Afifah, 24, Farah Amira, 26, dan Mohamed Ameer Shazrin, 28, masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Pindaan writ saman itu menyatakan YHA sebagai plaintif menuntut pembayaran RM328,901 Azmin yang merupakan defendan pertama.

Kertas kausa menyatakan sebagai alternatif, YHA meminta perintah agar Azmin membayar RM167,332, Farah Syazliyana (RM8,510), Farah Afifah (RM3,880), Farah Amira (RM6,400), dan Mohamed Ameer Shazrin (RM92,280), serta faedah daripada kelima-lima defendan.

Ketika pengurusan kes di depan hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun pagi ini, peguam YHA, Adam Yap memberitahu mahkamah bahawa pihaknya masih memerlukan masa untuk menyerahkan kertas kausa kepada empat defendan yang baru dimasukkan itu.

Hakim kemudian menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes bagi membolehkan peguam YHA menyerahkan kertas kausa kepada empat anak Azmin.

Perkara ini disahkan kepada Malaysiakini oleh peguam Azmin, Zaid Malek, yang hadir ke pengurusan kes pagi ini.

"Mahkamah (hari ini) memberikan (YHA Travel) dua minggu untuk menyerahkan kertas kausa kepada (empat) defendan, dan menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya. Kertas kausa perlu disampaikan secara peribadi (kepada kempat-empat defendan)," kata Zaid.

Berkenaan sama ada kedua-dua pihak ada terlibat dalam apa-apa perundingan untuk mencapai penyelesaian, Zaid berkata anak guamnya tidak memberikan apa-apa arahan berkenaannya.

"Kami ingin meneruskan proses undang-undang," katanya lagi.

Pada 30 Dis tahun lalu, YHA dilaporkan memfailkan permohonan untuk memasukkan empat anak Azmin sebagai defendan.

Ia kira-kira dua bulan selepas YHA memfailkan saman terhadap Azmin untuk menuntut bayaran penerbangan dan penginapan berjumlah RM328,901 daripadanya.

YHA mendakwa jumlah tersebut adalah untuk perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Menurut tuntutan itu, YHA telah menempah tiket penerbangan dan penginapan di hotel untuk Azmin, keluarga, rakan dan kakitangan kementeriannya.

Agensi itu berkata pihaknya antara lain perlu membuat pembayaran terlebih dahulu kepada syarikat penerbangan untuk mendapatkan tiket, dan Azmin atau wakilnya akan membuat pembayaran setiap tiga atau empat bulan.

Pada 14 Dis tahun lalu, Azmin dilaporkan memfailkan tuntutan balas terhadap YHA, mendakwa saman itu mempunyai motif tersembunyi yang berkaitan dengan video seks yang didakwa melibatkannya dengan bekas ketua pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Lihat Komen
ADS