Kit Siang: Taib dapat 'hadiah hari lahir' istimewa dari rakyat
Ketua pembangkang, Lim Kit Siang berkata, pengundi Sarawak telah memberi "hadiah hari lahir" paling tepat untuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ketua pembangkang, Lim Kit Siang berkata, pengundi Sarawak telah memberi "hadiah hari lahir" paling tepat untuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Katanya, para pengundi, terutama di sembilan kawasan yang dimenangi pembangkang, juga dengan tegas menolak permintaan Taib untuk mewujudkan sistem pemerintahan satu parti ala-Soviet.
"Mesej yang hendak disampaikan oleh rakyat kepada Taib pada hari lahirnya ke-70 ialah beliau perlu menukar cara hidup dan membuang mentaliti dunia ketiganya," kata Lim dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, apabila rakyat merungut tentang kenaikan harga minyak, pemimpin Barisan Nasional (BN) mahu rakyat menukar cara hidup.
Oleh itu, tambahnya, apabila ditolak rakyat, maka para pemimpinnya BN perlulah menukar cara hidup dan cara mereka berfikir.
"Taib perlu menjadi orang pertama menukar cara hidupnya supaya dia menjadi contoh kepada pemimpin BN yang lain. Perubahan cara hidupnya perlu dibuat segera dan mesti ketara kepada semua penduduk Sarawak," ujar ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi.
Daripada sembilan kerusi yang dimenangi pembangkang dalam pilihanraya negeri Sabtu lalu, DAP menang enam kerusi, PKR, SNAP dan bebas, masing-masing satu kerusi ekoran perubahan selera pengundi Cina di kawasan bandar.
Pencapaian paling buruk
Walaupun BN menang selesa dengan majoriti dua pertiga, dengan 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, namun ia merupakan pencapaian paling buruk sepanjang era pemerintahan Taib.
Lim juga menyifatkan tema kempen BN kali ini yang meminta pengundi menolak sepenuhnya parti pembangkang, sebagai satu amalan demokrasi yang tidak sihat.
"Taib mahukan kemenangan 100 peratus BN sebagai hadiah hari lahirnya. Ini menunjukkan bagaimana jauhnya kita dari sistem demokrasi yang normal.
"Sebelum Malaysia memiliki rakyat bermentaliti kelas pertama dan menjadi sebuah negara maju, ia perlu mewujudkan sebuah negara dan satu sistem demokrasi yang normal terlebih dahulu," tegas Lim.
Pengerusi DAP itu juga berkata, keputusan pilihanraya negeri itu menunjukkan proses demokrasi Malaysia mula berkembang walaupun terpaksa melalui pelbagai halangan.
Lim juga menyeru Taib yang merupakan Pengerusi BN Sarawak, supaya berkerjasama dengan wakil rakyat pembangkang selepas ini.

