Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas mufti wilayah dilantik menteri agama, CEO CIMB jadi menteri kewangan
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 5:44 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Barisan kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menampilkan dua individu bukan ahli politik yang akan dilantik sebagai senator bagi memegang jawatan menteri kanan.

Ketua pegawai eksekutif CIMB Group Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menerajui Kementerian Kewangan.

Tengku Zafrul, 46, mempunyai pengalaman selama 24 tahun dalam industri kewangan.

Tengku Zafrul akan dibantu oleh dua timbalan yang merupakan ahli parlimen Umno, Abd Rahim Bakeri (Kudat) dan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Sementara itu, bekas mufti wilayah persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan menguruskan hal ehwal agama.

Zulkifli akan dibantu oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dari PAS sebagai timbalan.

Zulkifli, 51, telah berkhidmat sebagai mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 dan dilihat sebagai tokoh agama yang moderat.

Selain Tengku Zafrul dan Zulkifli, empat lagi individu lain yang bukan merupakan wakil rakyat akan membarisi kabinet Muhyiddin.

Bagaimanapun, hanya Tengku Zafrul dan Zulkifli yang bukan ahli politik.

Dua yang akan dilantik sebagai senator untuk memegang jawatan dalam kabinet merupakan pemimpin MCA, iaitu Naib Presiden MCA, Lim Ban Hong dan Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon.

Dua yang lain ialah Setiausaha Eksekutif BN Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Bersatu yang dahulunya merupakan pegawai kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.

Lim akan mengambil jawatan timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa, manakala Mah akan menjadi timbalan menteri pendidikan I.

Sementara itu, Masrizal akan menjadi timbalan menteri alam sekitar dan Fayhsal akan menggalas tugas sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Lihat Komen
ADS