Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri kesihatan baru mahu terus tenang tangani Covid-19

Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Dr Adham Baba menjelaskan bahawa beliau ingin meneruskan pendekatan tenang seperti bekas penyandang jawatan itu, Dr Dzulkefly Ahmad terutama dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Saya kena tenang, sebagai doktor kita kena tenang merawat pesakit.

“Saya akan buat yang terbaik untuk kurangkan isu wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik termasuk dari kalangan Perikatan Nasional mencadangkan agar Dr Dzulkefly dilantik semula sebagai menteri kesihatan bagi membendung ancaman wabak berkenaan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan barisan kabinet barunya.

Dr Adham merupakan Anggota Parlimen Tenggara dari BN yang mendapat kelulusan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Malaya pada tahun 1987.

Kemudiannya, beliau berkhidmat sebagai doktor di beberapa hospital di Muar, Kluang dan Johor Bahru sekitar tahun 1987-1990.

Sehingga kini, Dr Adham mempunyai klinik di beberapa rangkaian sekitar Johor.

Sementara itu, Dr Adham turut berkata beliau akan meneliti isu wabak terbabit bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dan bekerjasama dengannya.

“Saya akan teliti isu ini bersama DG (Noor Hisham) dan pastikan jiwa dan nyawa rakyat diselamatkan,” katanya secara ringkas.

Malaysia kini berdepan gelombang kedua penyebaran Covid-19 selepas jumlah kes yang disahkan di negara ini baru-baru ini melonjak kepada 117 kes.

Lihat Komen
ADS