Malaysiakini
BERITA

Hannah Yeoh: Timbalan menteri wanita sokong kahwin bawah umur

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Mac 2020, 5:15 pagi

"Apa akan jadi kepada perjalanan pelan negara kita untuk menentang perkahwinan kanak-kanak dengan pelantikan ahli parlimen dari PAS sebagai timbalan menteri KKWKM?" ciap Hannah Yeoh, semalam.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) itu menyatakan kebimbangannya bahawa Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilancarkan kerajaan PH sebelum ini akan diketepikan susulan pelantikan Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai kepimpinan baru kementerian itu.

Yeoh merujuk kepada rekod Siti Zailah, yang baru dilantik sebagai timbalan menteri KKWM, sebagai merestui perkahwinan kanak-kanak, khususnya dalam perbahasan parlimen pada Julai 2017.

Siti Zailah dilaporkan mempertahankan perkahwinan bawah umur kerana dibenarkan dalam Islam.

Katanya umat Islam tidak pernah mempersoalkan pilihan paderi Buddha dan Katolik untuk tidak berkahwin walaupun ini dianggap sebagai hak asasi.

Siti Zailah Mohd Yusoff 

Katanya perkahwinan bawah umur dan kesalahan seksual dalam bentuk keganasan terhadap kanak-kanak adalah berbeza sama sekali.

Januari lalu kerajaan melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur bagi menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah, yang melancarkannya di Putrajaya berkata, pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Yeoh dalam ciapan seterusnya menyifatkan pemergian bekas menteri Wan Azizah Ismail daripada kementerian sebagai tamparan bagi usaha mempertahankan hak-hak wanita.

"Seorang timbalan perdana menteri wanita @drwanazizah tidak boleh diganti, barisan yang baru mengesahkannya," tegasnya.

Yeoh berkata kementerian itu sebelum ini dalam usaha menggubal peruntukan undang-undang berkaitan undang-undang antidiskriminasi gender dan mengekalkan jawatankuasa keganasan rumah tangga.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zailah dan menteri bertanggungjawab Rina Harun berkaitan perkara itu.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.