Isu Filem Lelaki Komunis Terakhir akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk mendapatkan pandangan MT kerana filem itu banyak melibatkan Umno, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Radzi, yang juga Setiausaha Agung Umno berkata: "Saya akan membawa (isu filem itu) ke MT untuk dapat nasihat, mungkin kita tayang pada MT. Filem ini banyak melibatkan Umno."

Filem Lelaki Komunis Terakhir arahan pengarah muda Amir Muhammad (foto) yang sepatutnya ditayangkan di negara ini pada 18 Mei lalu tetapi kemudian diharamkan.

Radzi berkata, penahanan tayangan filem tersebut pada 18 Mei lalu adalah disebabkan masa tayangannya tidak sesuai kerana tarikh itu hampir dengan sambutan ulang tahun Umno yang ke-60 pada 11 Mei lalu di Johor Bahru.

"Sentimen ahli Umno pada masa itu tidak sesuai. Pasal itu saya tahan (penayangan filem itu) walaupun (filem itu) diberi kelulusan (oleh Lembaga Penapisan Filem) untuk ditayangkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran e-umnosms di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam.

MP kata ok

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengharaman tayangan filem itu 10 hari sebelum ia ditayangkan di pawagam ekoran komen yang mendakwa ia cuba mengagungkan perjuangan komunis dan mempromosikan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Menurut laporan Bernama, selain itu, katanya, beliau juga mengambil kira sentimen masyarakat yang sudah mulai menjalankan persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

Radzi yang telah menonton filem itu, berkata selain itu, judul filem itu juga tidak bersesuaian memandangkan ia bukan menceritakan mengenai Chin Peng.

Filem tersebut juga telah ditayangkan kepada ahli-ahli Parlimen Ahad lalu, dan mereka berpendapat tiada yang kontroversi dalam dokumentari itu dan ia wajar ditayangkan kepada umum.

Keputusan untuk mengadakan tayangan tertutup kepada ahli Parlimen itu dibuat selepas Ketua Pembangkang Lim Kit Siang memohon untuk menonton filem kontroversi itu bagi melihat sendiri kewajaran filem itu diharamkan oleh kerajaan.