Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan mengenai penyelewengan kewangan ketara pihak berkuasa tempatan di mana kontrak kecil diberikan terus kepada kontraktor tanpa sebarang proses membida.

Beliau berkata, kajian jabatannya mendapati penyelewengan amat ketara dalam projek landskap kerana projek itu diusahakan berulangkali dan tidak ada langsung projek seperti itu di tempat lain.

Satu lagi bidang yang terdedah kepada penyelewengan ialah kontrak memungut sampah, katanya ketika membentangkan kertas di bengkel bertajuk "Mencegah Rasuah Dalam Pemerolehan Awam: Pembinaan Keupayaan dan Rangkaian bagi Masyarakat Sivil dan Kerajaan Tempatan" Petaling Jaya semalam, anjuran Institut Integriti dan Ketelusan Antarabangsa Malaysia.

Akibat salah pengurusan PBT itu, kata Ambrin, mendorong kepada pembaziran wang kerajaan, kelewatan menyiapkan projek, peralatan yang tidak digunakan sepenuhnya dan kualiti kerja yang rendah oleh kontraktor.

Sebagai contoh pembaziran wang kerajaan, beliau berkata, sebuah zoo mengimport empat ekor Orang Utan berharga RM400,000 dari Nigeria tetapi terpaksa menghantar pulang haiwan tersebut kerana melanggar peraturan Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Flora dan Fauna Yang Menghadapi Bahaya Kepupusan (CITIES).

Pegawai ditukar jabatan

Menurut laporan Bernama, Ambrin juga berkata, berikutan pendedahan dalam laporan jabatannya, khususnya salah urus seperti projek kerajaan terbengkalai dan pembaziran dana awam, beberapa pegawai yang didapati bersalah, telah ditukar ke jabatan lain dan isu tersebut juga dibangkitkan di Parlimen.

Oleh itu, beliau meminta ketua jabatan mengambil Laporan Ketua Audit Negara dengan serius dan mereka bertanggungjawab menghukum mereka yang bersalah melakukan penyelewengan kewangan.

"Laporan ini diberikan kepada pegawai kewangan negeri. Saya turut menulis surat kepada menteri besar jika terdapat sesuatu yang tidak betul dan Perdana Menteri sendiri meminta semua pihak mengambil laporan kami dengan serius.

"Peranan kami adalah sebagai pemerhati bagi memastikan prosedur dan peraturan kerajaan dipatuhi. Jika kami terima laporan (penyelewengan) sudah tentu kami ambil tindakan tetapi ia menjadi tugas Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membuat pendakwaan," katanya.