Kementerian kesihatan guna kit ujian pantas Covid-19
Kementerian Kesihatan akan mula menggunakan kit ujian pantas Covid-19 yang akan menghasilkan keputusan dalam tempoh tiga jam dan dengan ketepatan lebih tinggi, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Portal The Malaysian Insight memetik Noor Hisham sebagai berkata negara ini sudah mempunyai kit berkenaan untuk digunakan pada pesakit yang disyaki.
“Kita ada dan kita akan gunakan tidak lama lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kit ini akan dapat memberikan keputusan dalam tempoh empat jam lebih cepat berbanding kit ujian yang digunakan pada masa sekarang, dan dengan kadar ketepatan 99 peratus.
Singapura sudah pun mula menggunakan kit ujian pantas ini.
Sejak Khamis, ujian dijalankan terhadap pelawat ke republik itu yang mengalami demam atau simptom pernafasan, tetapi tidak didefinasikan sebagai “kes suspek klinikal”.
Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak menjawab ketika ditanya adakah kit ujian itu diperoleh dari Singapura.

