Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Usul tak percaya pada Muhyiddin tak akan berjaya lagi’
Diterbitkan:  Mar 11, 2020 11:51 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Usul tidak percaya terhadap perdana menteri tidak akan berjaya lagi kerana Muhyiddin Yassin telah berjaya mengukuhkan kedudukannya, kata Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian yang disiarkan hari ini, bekas perdana menteri itu percaya kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) mampu berkuasa sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana,” katanya.

Mahathir berkata sokongan 114 kerusi padanya sebelum ini semakin kurang kerana “dia (Muhyiddin) sudah ambil orang saya:.

“Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang.

“Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya,” katanya lagi.

“Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun.”

Berlangsung selama 80 minit, wawancara itu ialah temu bual pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas meletakkan jawatan secara mengejut pada 24 Februari.

Ia diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Teruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Sementara itu, Mahathir turut berharap agar Muhyiddin meneruskan dasar-dasar kerajaan lama.

“Saya minta kalau boleh kabinet jangan gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS