Terjemahan Barisan Nasional (BN) telah diberi mandat untuk memerintah semula Sarawak, tetapi pada masa yang sama, telah menerima pukulan hebat dalam pilihanraya negeri itu Sabtu lalu, kata jurucakap Barisan Bersatu Sarawak (BBS) Datuk Daniel Tajem.

Dalam pilihanraya negeri 2001, BN Sarawak memenangi 60 daripada 62 kerusi. Tetapi dalam pilihanraya negeri Sabtu lalu, BN kalah di sembilan kerusi. Sebanyak 71 kerusi dipertanding kali ini.

"Rakyat telah bersuara dan adalah menjadi tanggungjawab kita, sebagai peserta dalam proses demokrasi, untuk menerima keputusan mereka. Kita mesti tunduk kepada kehendak mereka," kata Tajem (foto).

Tajem, yang merupakan bekas timbalan ketua menteri dan bekas presiden parti PBDS, telah bertanding di bawah simbol SNAP, tetapi kalah

Beliau turut mengucap tahniah kepada DAP kerana 'prestasi luar biasanya'. "Kami mengucap tahniah di atas kemenangan parti tersebut," katanya.

DAP memenangi enam kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina, dengan menewaskan calon-calon daripada parti komponen BN Sarawak SUPP yang kalah teruk dalam pilihanraya negeri kali ini.

Satu ironi

Tajem berkata, secara sepintas lalu, kesimpulan terhadap keputusan pilihanraya negeri kali ini menunjukkan pengundi di kawasan yang banyak menerima pembangunan fizikal, sepertimana di Kuching, tidak menyokong BN.

Beliau menyifatkannya sebagai satu ironi kerana selama ini BN melaung-laungkan 'politik pembangunannya'.

"Di kawasan yang paling banyak pembangunan, semakin kurang sokongan terhadap BN dan di tempat yang kurang pembangunan, BN mendapat sokongan paling banyak," tambahnya.

Menurutnya, pancingan kewangan seperti pembayaran gaji bulanan kepada 4,760 ketua kampung yang dikebelakangkan mulai 1 Mac lalu, berjumlah RM5.7 juta, telah mempengaruhi keputusan pengundi di kawasan pedalaman.

Tajem berkata, ini adalah satu versi 'politik wang' yang telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Malaysia.

Beliau berkata, ia merupakan satu 'kesilapan besar' bagi BN untuk memperjemahkan keputusan pilihanraya negeri kali ini sebagai sokongan rakyat terhadap cara mereka menguruskan Tanah Adat (NCR).

Menurutnya, isu NCR merupakan punca rasa tidak senang hati di kalangan penduduk terbabit dan kini ia menjadi tanggungjawab sembilan wakil rakyat pembangkang memperjuangkannya di Dewan Undangan Negeri. Berita asal