Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 20 kes baru positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 149, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata satu kes iaitu kes ke-78 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih serta dibenar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih adalah sebanyak 26 kes.

Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kontak-kontak rapat bagi setiap kes baru itu sehingga punca jangkitan dapat dikenal pasti, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan yang positif, sebanyak 22 kes dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), 124 kes kontak rapat, dua kes daripada Misi Bantuan Kemanusiaan, manakala satu kes dari jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) melalui survelan Covid-19.

“Sehingga kini, dua kes telah dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan alat pernafasan tetapi dalam keadaan stabil. Daripada kes ini, satu kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala satu kes lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Feb lepas dibenarkan pulang ke rumah selepas menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata International Health Regulations Focal Point (IHRFP) Brunei telah memaklumkan kepada IHRFP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 dikesan di negara itu.

Kes tersebut dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Feb hingga 1 Mac.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” menurut Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) negeri sekiranya mengalami gejala.

“Sekiranya tidak mengalami gejala, mereka hendaklah mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 dan tidak menggalakkan melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan penyakit itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS