Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan, Terengganu di landasan terbaik laksana hudud

Jalan bagi perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) atau hudud sebagaimana yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac 2015 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 kini terbentang luas kata seorang peguam.

Pengerusi Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Proguam) Kelantan, Hisham Fauzi, peluang untuk pelaksanaan dua enakmen itu tidak lagi berdepan halangan kerana kerajaan persekutuan kini dikuasa Perikatan Nasional (PN) dengan PAS menjadi sebahagian daripadanya.

Kata Hisham, Kelantan dan Terengganu juga kini tidak lagi menjadi negeri pembangkang seperti sebelum ini.

"Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu mempunyai wakil yang berkuasa di peringkat pusat, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, dan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.

"Untuk melaksanakan enakmen hudud ini, kerajaan Malaysia hanya perlu kemukakan usul pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di mahkamah untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah daripada hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan kepada tahap yang membolehkan hudud dilaksanakan.

"Kuasa untuk menyusun aturan urusan dewan adalah tertakluk kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi menteri yang bertanggungjawab ke atas parlimen mempunyai legitimasi untuk memastikan bahawa usul meminda Akta 355 boleh dibawa dan menjadi keutamaan dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, beranggapan masih terlalu awal untuk perbincangan mengenai perkara itu dilakukan dan pada masa sama kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan kepada perkara asas dalam pentadbiran terlebih dahulu.

Takkan tak boleh setuju

Sementara iti Hisham berkata, beliau antara individu yang terlibat sejak awal dalam proses penggubalan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2005).

"Kemudiannya saya juga terlibat berunding dengan kerajaan pusat ketika itu di bawah BN.

"Perkembangan sekarang adalah amat kondusif bagi perlaksanaan hudud di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sekaranglah masanya.

"Malah bagi negeri-negeri yang belum ada enakmen hudud di semenanjung, Sabah dan Sarawak, inilah masanya untuk DUN negeri berkenaan tersebut segera menggubal enakmen berkenaan," ujarnya.

Tambah Pengarah Undang-undang PH Kelantan itu, sebagai langkah pengukuhan tambahan, menteri bertanggungjawab boleh membawa usul pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Malaysia agar tiada lagi sebarang pertikaian mengenai keabsahan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 itu.

"Ini untuk menyelesaikan dakwaan bahawa enakmen tersebut adalah melanggar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga demi memberi jalan seluas-luasnya ke arah pelaksanaan enakmen hudud tersebut.

"Selain itu, dengan sistem whip yang diamalkan di Malaysia, sokongan keseluruhan ahli parlimen daripada PN akan dapat digemblengkan bagi menjayakan usaha yang sekian lama diidam-idam oleh PAS.

"Takkanlah ada ahli parlimen PN tak boleh bersetuju dengan usul daripada menteri PN sendiri, mereka perlu buktikan kesepaduan kerjasama," kata Hisham.

Lihat Komen
ADS