Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengingatkan bahawa tidak boleh ada tangguhan lagi berhubung kes dakwaan pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta terhadap anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz.

Hakim Azman Ahmad menjelaskan perkara tersebut sewaktu perbicaraan kes, ketika Riza berada dalam kandang tertuduh pagi tadi.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal mengemukakan tarikh baru perbicaraan kes itu bagi membenarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat keputusan mengenai surat perwakilan Riza.

Norzilati Izhani memberi alasan kerana Peguam Negara baru (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun) perlu meneliti surat berkenaan.

Mengikut undang-undang, surat perwakilan adalah satu kaedah di mana tertuduh akan menyelesaikan kesnya, sama ada melalui penggantungan pertuduhan ataupun mengaku bersalah secara alternatif bagi mendapatkan hukuman lebih rendah.

Susulan pertuduhan terhadap Riza pada 5 Julai tahun lepas, pasukan peguam belanya telah mengemukakan rayuan supaya kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, bagaimanapun rayuan itu ditolak pada 23 September lalu.

Pada 6 Disember tahun lalu, dilaporkan bahawa pasukan peguam bela Riza telah menghantar surat perwakilan kepada AGC.

Pada 25 Feb lalu, dilaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob – yang menjadi hakim sewaktu Riza pertama kali dituduh- membuat keputusan untuk menarik diri dalam kes tersebut.

"Kes ini sejak Julai lepas (ketika Riza pertama kali dituduh). Kita tidak perlu tangguh lagi.

“(Proses surat perwakilan kepada AGC) mesti dipercepat,” kata Azman kepada Norzilati serta peguam mewakili Riza antaranya Hariharan Tara Singh dan Tania Scivetti.

Azman kemudian menetapkan 6 April untuk sebutan kes tersebut serta mengingatkan kedua-dua pihak bahawa mahkamah akan meneruskan kes itu dengan menetapkan tarikh perbicaraan kes sekiranya AGC belum lagi membuat keputusan berkaitan surat Riza.

Lihat Komen
ADS