Malaysiakini
BERITA

Mukhriz: Tak perlu bubar DUN sebab Kedah kekal status quo

Bernama

Diterbitkan

Tiada keperluan untuk membubarkan DUN Kedah buat masa ini dan kerajaan negeri akan terus dipimpin oleh Bersatu serta Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini kekal dengan status quo sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang, dan perkara itu turut disepakati pihak pembangkang di negeri itu.

"Seperti disebut Muhammad Sanusi Md Nor (Ketua Pembangkang DUN Kedah), kita dah capai satu kata sepakat di mana di Kedah ini status quo, maksudnya tiada perubahan, jadi walaupun Bersatu di peringkat nasional telah keluar daripada PH tapi di Kedah, kita bersifat pragmatik.

“Jika perlu berlaku perubahan (dalam pentadbiran kerajaan negeri) pun, kita sama-sama sepakat biarlah sampai PRU ke-15 kerana rakyat perlu diberi hak untuk membuat pilihan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pengajian dan khairat kematian kepada penerima dalam Dun Jitra di Jitra hari ini.

Mukhriz berkata PAS Kedah juga mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti itu mengenai pendirian yang perlu diambil di peringkat negeri, dan mereka juga tidak mahu gopoh untuk mengubah kerajaan negeri sedia ada.

Beliau berkata berbeza dengan negeri lain, Kedah mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan keadaan politik semasa selain akan terus menjaga hubungan baik dengan semua pihak, termasuk pembangkang.

"Apa juga yang berlaku di peringkat pusat, Kedah tidak semestinya mengikut arus yang berlaku di peringkat nasional, sebab semua pihak nak suasana politik yang tenteram di Kedah dan kerajaan negeri sedia ada boleh terus berkhidmat untuk rakyat.

"(Selain itu) Peranan pembangkang juga masih wujud sebagai penyemak dan pengimbang, dan atas sebab itu, tidak berlaku 'lompatan' ahli-ahli DUN PH dan Bersatu ke pihak pembangkang," katanya.

Mukhriz juga memaklumkan bahawa persidangan DUN Kedah yang dijadual diadakan pada 23 Mac ini akan berlangsung seperti dirancang.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.