Laporan media: Samy 'puji mereka yang bakar akhbar
Terjemahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu memuji mereka yang telah 'menyelamatkan' demokrasi dengan membakar nashkah dua akhbar harian berbahasa Tamil hujung minggu lalu.
Terjemahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu memuji mereka yang telah 'menyelamatkan' demokrasi dengan membakar nashkah dua akhbar harian berbahasa Tamil hujung minggu lalu.
"Mereka yang membakar (akhbar berkenaan) bukan orang yang tidak bertamaddun. Tetapi mereka membakarnya untuk menyelamatkan demokrasi. Saya puji mereka," katanya dalam laporan akhbar Makkal Osai.
Samy Vellu, yang juga Menteri Kerjaraya berkata demikian ketika berucap di konvensyen MIC Selangor malam tadi. Timbalannya, Datuk S Subramaniam turut hadir.
Sabtu lalu, sekumpulan ahli MIC di Johor telah bertindak membakar nashkah akhbar Makkal Osai dan Tamil Nanban kerana didakwa sengaja memutarbelitkan ucapan presiden MIC itu.
Kedua-dua akhbar berkenaan diselar apabila melaporkan Samy Vellu sebagai berkata bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghiraukan masyarakat India.
Samy Vellu kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dan menuduh akhbar berkenaan yang turut mempertahankan laporan mereka itu sengaja memutarbelitkan kenyataannya.
Katanya, akhbar berkenaan menyokong Subramaniam dan beliau turut menuduh timbalan presiden MIC itu mencetuskan kontroversi berkenaan. Subramaniam juga telah menafikannya.
Samy Vellu juga mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua akhbar berkenaan.
Kelmarin, Makkal Osai melaporkan bahawa ia menerima panggilan daripada individu-individu yang tidak dikenali yang mengancam untuk membakar bangunan pejabatnya.
Ancaman melalui SMS
Sementara itu, Samy Vellu memberitahu para perwakilan MIC Selangor bahawa mereka yang memutarbelit ucapannya adalah sebenarnya 'orang tidak bertamaddun' dan bukan orang yang membakar akhbar berkenaan.
Presiden MIC itu juga mendedahkan yang beliau menerima ancaman melalui SMS (sistem pesanan ringkas).
"Saya akan pergi ke mana sahaja yang saya mahu. Saya ada pegawai yang melindungi saya. Siapa yang mereka ada? Tidak siapa pun yang boleh berbuat apa-apa kepada saya," katanya dalam laporan akhbar Tamil Nanban .
Makkal Osai pula memetik beliau sebagai berkata: "Jangan cuba menakut-nakutkan saya. Saya tidak takut. Mati datang sekali sahaja."
Presiden MIC itu juga mengulangi kepada para perwakilan bahawa Dr Mahathir telah banyak berjasa kepada masyarakat India.
Beliau berkata, hanya mereka 'bodoh' sahaja yang akan berkata sebaliknya.
Mengenai masalah dalam MIC, beliau berkata, parti itu tidak boleh digoncang dan mereka yang cuba berbuat demikianlah yang akan tumbang.
Tamil Nesan, akhbar bahasa Tamil yang menyokong Samy Vellu, memetik beliau sebagai berkata, beliau melancarkan perang untuk meningkatkan kedudukan masyarakat India dan bukannya dituju terhadap mana-mana 'individu'.
Saya tidak takut
Dalam satu perkembangan yang berkaitan, Subramaniam berkata, beliau tidak pernah ada sebarang masalah dengan bosnya, tetapi bosnya itulah yang mahu menentangnya.
Menurut laporan akhbar Tamil Nanban , timbalan presiden MIC itu berkata, beliau sentiasa menyokong dan mengikut rancangan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh presiden parti itu.
"Saya bertanding (untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden) berasaskankepada rangkakerja demokrasi dalam parti. Jika presiden memutuskan orang lain (mengisi jawatan nombor dua) dan menyokong calon tersebut, itu adalah haknya untuk berbuat demikian. Tidak siapapun yang boleh menghalangnya.
"Saya tidak takut untuk menghadapi cabaran. Tidak siapapun yang boleh menghalang saya daripada meminta sokongan daripada para perwakilan," tambahnya.
Hubungan antara Samy Vellu dan Subramaniam memang sudah lama tidak rapat. Ketegangan hubungan antara kedua-duanya menjadi lebih sengit lagi apabila presiden MIC itu menamakan Naib Presiden Datuk G Palanivel sebagai calon pilihannya bagi jawatan timbalan presiden. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.